Sunday, October 20, 2013

Berhati-hati Ketika Menjamah Makanan.

Berhati-hati Ketika Menjamah Makanan.

Tengah hari tadi, saya dan rakan saya singgah di sebuah gerai di sekitar Melawati untuk menikmati makan tengah hari.

Baru sahaja beberapa suap makan, rakan yang makan di depan saya berhenti mengunyah, dengan jarinya dia mengeluarkan sesuatu dari mulutnya.

Sangkanya pasir atau batu yang mungkin berasal daripada beras, tetapi rupanya tidak. Ia adalah serpihan kaca!

Beliau terus berhenti makan dan mengadukan perkara ini kepada tuan kedai. Jawapan yang diterima daripada tuan kedai ringkas sahaja, "benda ni kecil, kami tak perasan."

Kami tidak mengharapkan makan percuma dan masih membayar penuh. Tetapi cukuplah jika mengakui kesilapan dan mohon maaf sahaja. Kami faham, perkara seperti ini kadangkala di luar kawalan. Tetapi nampak tuan kedainya seperti ada sedikit ego.

Kata kawan saya, ini kali kedua dia terjumpa kaca di dalam makanannya. Kali pertama sebulan yang lalu di kedai lain. Tetapi respon tuan kedainya sama sahaja seperti kes hari ini.

Pada ketika itu saya teringat betapa pentingnya mengingat Allah sebelum menjamah makanan.

Kerana itu sebelum menyuap makanan ke dalam mulut, bacalah doa makan. Baca juga ayat "Bismillahillazi La Yadhurru Ma'as mihi Syai'un fil ard, walaa fis sama'i. Wahuwassami'un 'alim."

Pesan seorang ustaz, amalkan juga membaca surah 'Li ilaa fi quraisy' untuk mengelak santau. Walau tiada nas atau hadis yang meriwayatkan tentang amalan ini, letakkan sahaja iktikad kepada kaifiyyah kalalm-kalam Allah dalam Al-Quran sebagai pelindung diri kita.

Ketika makan pula, jangan gelojoh dan main telan sahaja. Kunyahlah makanan sehingga lumat sebelum menelannya.

Insya Allah, Allah akan biaskan segala kejahatan dan niat tidak baik yang ditujukan kepada kita sama ada sengaja atau tidak sengaja.

Semoga apa yang kita telan menjadi khasiat dan bukan mudharat kepada tubuh badan kita.

Kita ingat Allah, Allah ingat kita.

No comments: