SEAWAL usianya 12 tahun, Datuk Dr. Mohd. Zaini Ariff @ Haris sudah didedahkan dengan perniagaan air cincau di Pasar Besar, Jalan Bandar, Kuala Lumpur. Beliau juga sudah terbiasa membantu mengusahakan dan menguruskan katering milik bapanya.Hasil pendedahan tersebut, hari ini beliau kini boleh berbangga dengan perniagaan yang dimilikinya. Doa yang dipohon ketika berada di Tanah Suci Mekah seawal usia 30 tahun juga dikabulkan Allah.
Mahu menjadi insan berjaya, memiliki sebuah keretaj aguar dan menghantar orang lain ke Tanah Suci menjadi kenyataan. Menjangkau umur 50, beliau sudah memiliki lebih daripada yang diminta. Namun, masih ada sesuatu yang belum lengkap dalam hidup usahawan ini.
Penghijrahannya menjadi usahawan membuka lembaran baharu dalam hidup beliau.
Hijrah seorang usahawan bagi dirinya ialah mengubah cara perniagaan yang dikendalikan mengikut syariat Islam.Setiap tahun beliau berazam untuk berhijrah ke jalan yang lurus dan benar selain berdoa agar dapat menghadapi cabaran hidup dengan tenang.
“Saya fikir semua orang mengharapkan kecemerlangan dalam buku laporan audit tahunan kehidupannya yang dicatat oleh malaikat.
“Moga timbangannya melurut laju ke sebelah kanan. Lebih manis lagi jika tidak perlu dihisab,” jelas usahawan ini dalam bukunya, Usahawan Akhirat yang ditulis bersama Profesor Madya Dr. Muhd. Kamil Ibrahim.
Positif
Usahawan akhirat kedengaran agak dangkal. Namun, bagi anak kepada pasangan Haris Idris dan Esah Abd. Halim ini, setiap yang ada di dunia ini diwujudkan berpasang-pasangan oleh Allah termasuklah usahawan dunia dan akhirat.
Baginya, sebagai muslim, seseorang perlu mencari keuntungan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Tegas Mohd. Zaini, semua manusia sebenarnya merupakan peniaga yang menjalankan urusan sesama manusia dan Pencipta.
“Sebagai seorang pekerja, kita bekerja untuk mendapatkan gaji dan upah. Jika kita bekerja dengan amanah dan jujur, kita akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah,” jelasnya ketika ditemui.
Mengungkap cerita awal pembabitannya dalam perniagaan, lelaki yang lebih dikenali dengan nama DZ ini mula berniaga ketika masih belajar di Sekolah Kebangsaan St. John, Kuala Lumpur.
Mendapat galakan daripada bapanya yang juga seorang peniaga di pasar pada ketika itu mendorong DZ membuka perniagaannya sendiri.
“Pada awalnya saya ada rasa malu, apatah lagi apabila rakan-rakan melihat saya berniaga di pasar selepas waktu sekolah.
“Namun, ayah selalu mempositifkan fikiran saya. Dia mahu saya belajar berniaga. Mungkin pada ketika itu, dia mahu saya mewarisi kerjayanya sebagai peniaga untuk menjaga tiga orang kakak walaupun saya anak bongsu,” kongsinya.
Bermula dengan berniaga air cincau di pasar di Kampung Baru, Kuala Lumpur sehingga melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar tahun 1980-an, DZ menjadi dirinya yang sekarang.
Beliau kini banyak mengusahakan perniagaan berasaskan kejuruteraan elektrik dan membekalkan bahan perubatan. DZ bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian dengan gaji permulaan RM600 sebulan pada tahun 1987.
Setelah hampir enam tahun bekerja sambil berniaga menguruskan sebuah koperasi, DZ telah membeli sebahagian besar saham koperasi tersebut dengan duit simpanannya.
Ternyata, jiwa usahawan yang mengalir dalam darahnya mempunyai kesan yang besar dalam hidup suami Datin Norashikin Mat Jusoh, 50, ini.
Beliau mengagumi kredibiliti ayahnya sebagai seorang peniaga yang berjaya menyara enam orang abangnya untuk bersekolah walaupun dirinya sendiri tidak mendapat pendidikan.
“Sebagai anak bongsu, ayah berjaya menyara keluarga malah menjadi seorang yang lebih berjaya berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia adalah peniaga pertama yang mengusahakan bisnes katering di Kuala Lumpur sekitar tahun 1970-an.
“Ayah dikenali dengan nama Pak Haris. Ibu pula membantu ayah bekerja sebagai seorang tukang jahit. Paling saya kagumi tentang ayah ialah dia tidak pernah berhutang untuk mendapatkan modal berniaga.
Kongsi pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Southern Cross, Australia ini, beliau gagal mengikuti cara ayahnya yang berniaga tanpa membuat pinjaman.
“Pada usia sebegini, barulah saya sedar betapa amalan berhutang itu tidak baik untuk diri saya, keluarga dan perniagaan.
“Apabila dibelenggu hutang, hidup tidak tenang. Saya telah terlibat dengan pinjaman untuk menyuntik modal bisnes pada peringkat awal.
“Dalam tidak sedar juga, saya telah melakukan perkara yang Allah tidak suka,” jelasnya yang kini tidak lagi mengamalkan konsep pinjaman untuk berniaga setelah menemui konsep usahawan akhirat.
Luah DZ, beliau juga telah terlibat dengan riba melalui pinjaman tersebut. Malah, ramai usahawan pada masa kini tidak dapat mengelakkan diri daripada situasi tersebut.
Pulangan
Cadangnya kepada para usahawan, elakkan amalan berhutang dan pinjaman yang mempunyai unsur riba.
Dalam pada itu, terang anak bongsu daripada empat beradik ini, sudah lumrah bagi seseorang yang mengusahakan perniagaan mencari keuntungan. Namun, tidak semua perniagaan yang dijalankan mendatangkan pulangan lumayan, malah ada yang kerugian dan kehilangan modal.
Jika tidak untung, rugi yang mendatang. Itulah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan. Bagaimanapun, erti keuntungan sebenar dalam konteks manusia sebagai hamba Allah bukan terletak kepada perolehan harta.
Bagi usahawan dunia, empat aspek yang menjadi keutamaan iaitu kekayaan, kesihatan, kekuasaan dan takhta yang pastinya tidak abadi untuk dikecapi berbanding usahawan akhirat yang mengejar keuntungan di dunia untuk akhirat.
Kongsinya, selama ini beliau tidak sedar bahawa keuntungan dunia bukanlah kebahagian sebenar yang dicari malah lebih daripada itu.
“Pengalaman rakan perniagaan yang tidak menepati janji, membatalkan perjanjian perniagaan, dan menghadapi persaingan yang membuatkan saya berfikir tentang kurniaan Allah.
“Ada satu ketika seseorang yang sepatutnya berjumpa dengan saya untuk satu urusan perniagaan telah membatalkan temu janji tetapi saya bertemu orang lain yang tidak pernah saya kenal untuk menjalinkan urusan perniagaan.
“Sungguh, hanya Allah tempat bergantung. Bukan manusia, hanya Dia yang sentiasa ada untuk menolong kita,” ceritanya penuh insaf.
Sejak peristiwa tersebut, DZ mula sedar bahawa sebagai seorang usahawan, beliau bukan hanya perlu menjadi usahawan dunia bahkan usahawan akhirat yang bekerja untuk dunia dan mendapat keredaan Allah.
Bapa kepada empat orang anak ini memberitahu, Allah mengurniakan rezeki kepada semua orang. Sebagai manusia, seseorang itu perlu berusaha mendapatkan petunjuk daripada Pencipta selain berusaha secara fizikal untuk mendapatkan sesuatu.
“Senario yang berlaku kini manusia sanggup melakukan pelbagai cara untuk memastikan hajatnya tercapai seperti mengamalkan rasuah yang sebenarnya menyebabkan hak orang lain dirampas,” jelas anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini.
Dalam menjalani kehidupan seharian sebagai hamba, manusia sebenarnya melakukan urusan perniagaan dengan Pencipta. Mereka akan mendapat balasan syurga atau neraka bergantung kepada amalan masing-masing.
Ganjaran
Tegasnya, jika banyak amalan kebaikan yang dibuat di dunia, ganjaran pahala yang diperoleh juga adalah banyak, begitu juga sebaliknya.
“Apabila berniaga dan meraih keuntungan, bayarlah zakat dan bersedekah. Rezeki yang dianugerahkan itu bukan milik kita semata-mata sebaliknya perlu dikongsi.
“Zakat dan sedekah ini juga mempunyai keberkesannya yang tersendiri. Hati lebih tenang, dan insya-Allah rezeki yang datang juga melimpah ruah. Niatkan amalan ikhlas kerana Allah,” terang DZ.
Ceritanya lagi, 9/10 rezeki yang datang adalah melalui perniagaan, namun tidak semua perniagaan yang dijalankan berjaya.
Sebagai peniaga, proses menjalankan perniagaan sama seperti proses perkembangan manusia yang perlahan-perlahan melalui fasa-fasa tertentu bermula dari awal kelahiran.
“Semuanya tidak berlaku dengan pantas. Namun, ramai yang mahu cepat untuk berjaya lantas memilih jalan yang salah kerana hanya ada dua cara iaitu cara yang betul dan salah.
“Dengan memilih cara yang salah, pastinya melanggar etika dan mengundang dosa. Hidup mungkin mengecapi nikmat dunia dengan wang, namun hati tidak akan tenang.
“Cara yang betul, pastinya lebih lambat dan menguji kesabaran. Percayalah, hati akan lebih tenang, keuntungan yang diperoleh mencukupi malah boleh dikongsi bersama orang lain.
“Paling penting, jalankan suruhan Allah. Tinggalkan larangan-Nya. Dalami dan cintai al-Quran,” jelasnya berkongsi pengalaman.