Bismillahirrahmanirrahim.
Hidayah boleh dikategorikan kepada pelbagai jenis:
- Yang boleh dilihat vs yang tidak boleh dilihat
- Yang diberikan kepada semua ciptaan vs yang terpilih sahaja
- Yang sentiasa berkekalan dan yang sementera
Namun yang paling penting dan yang saya ingin kongsikan kali ini adalah mengenai hidayah ilmu dan hidayah yang merupakan hak mutlak Allah s.w.t yang saya panggil sebagai hidayah haqiqi, yang mungkin dipanggil sebagai hidayah mutlak, hidayah rohani, hidayah spiritual atau hidayah Rabbaniyah oleh ulama' ulama' lain.
Jenis hidayah lain juga penting, namun perbincangannya mungkin akan menyebabkan tulisan ini menjadi panjang dan akhirnya mesej utama tulisan ini tidak sampai.
Kenapa pentingnya kita klasifikasikan jenis-jenis hidayah ini? Ini kerana sebagai panduan kepada kita untuk kita kenal pasti bahagian mana yang kita masih lemah dan supaya kita boleh berusaha membaikinya.
Hidayah Ilmu vs Hidayah Haqiqi
Kedua-kedua jenis hidayah ini amat ketara perbezaannya, dan banyak kali ditekankan di dalam Al-Quran, namun ia sangat berkait rapat antara satu sama lain.
Sasaran kita yang utama adalah untuk mendapat hidayah haqiqi kerana hidayah ini yang akan memastikan kita berada di dalam golongan yang berjaya mendapat syurga Allah s.w.t atau tidak. Hidayah-hidayah lain hanya perantara supaya kita mampu mengecapi hidayah haqiqi.
Hidayah Ilmu
Hidayah jenis ini sangat penting, kerana kita semua tahu, tanpa adanya ilmu pengetahuan yang mencukupi, kita akan sesat, seperti mana bangsa Nasrani yang punca utama kegagalan mereka adalah mereka melakukan 'amal tanpa adanya ilmu.
Dan sumber hidayah ilmu yang paling utama adalah Al-Quran, dan seterusnya As-Sunnah. Dan barangsiapa yang menjadikan sumber hidayah ilmu mereka selain dari kedua-dua ini akan terpesong dari landasan yang benar.
Hidayah Haqiqi
Merupakah hidayah mutlak milik Allah s.w.t. Tiada selain-Nya yang mampu memberikan hidayah jenis ini. Sebagai contoh, kita semua tahu pasal kisah Abu Thalib yang meninggal sebagai seorang kafir.
Berbanding dengan hidayah-hidayah lain, hidayah ini perli diberi keutamaan yang lebih. Kerana setinggi manapun ilmu seseorang dan banyak mana amalannya, tanpa adanya hidayah jenis ini, dia tidak akan bersama-sama dengan mereka yang dijanjikan Allah syurga.
Ia perlu dicari-cari dan dipohon bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t.
Hubungan Antara Kedua-duanya
Sekiranya hidayah haqiqi merupakan sasaran terakhir kita, anggaplah hidayah ilmu sebagai garis permulaan kita.
Semua ciptaan Allah seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, jin, malaikat dan manusia akan menerima sekurang-kurangnya hidayah umum, tetapi hanya yang terpilih sahaja yang diizinkan menerima hidayah ilmu, iaitu dari kalangan manusia, jin dan malaikat.
Sekiranya kita sebagai manusia tidak berusaha untuk mendapatkan hidayah ilmu ini, maka kita akan sentiasa kekal di garisan permulaan, dan kita akan menjadi seperti ciptaan Allah yang lain yang tidak diberikan ilmu. Contohnya adalah seperti binatang. Sebab itu kerap kali di dalam Al-Quran, mereka yang mengabaikan tanggungjawab ilmu itu kerap kali diumpakan seperti binatang-binatang.
Jadi,adakah hidayah ilmu ini cukup?
Tidak. Seperti yang saya sebutkan di atas, hanya seseorang yang mempunyai hidayah haqiqi sahaja akan dizinkan untuk memasuki syurga Allah s.w.t.
Sebagai contoh, berapa ramai dari golongan 'alim ulama', cerdik pandai, professor, para cendekiawan, ahli kitab yang gagal mempunyai pengakhiran yang baik. Contoh yang paling jelas di dalam Al-Quran dan panjang lebar dibincangkan adalah Yahudi.
Bahkan kita boleh lihat kerosakan yang dihasilkan oleh golongan cerdik pandai ini kepada Islam. Islam dipandang buruk kerana golongan ini. Mereka kelihatan berilmu namun disebabkan tiadanya hidayah haqiqi dari Allah s.w.t di dalam diri mereka bukan sahaja sesat, bahkan menyesatkan diri orang pula, contohnya golongan khawarij dan ekstremis dalam agama.
Apa yang menyebabkan mereka menjadi begitu?
Ini kerana mereka lupa untuk berusaha mendapatkan hidayah haqiqi dari Allah s.w.t. Mereka membaca Al-Quran dan hadis untuk mendapatkan ilmu, tetapi mereka tidak berusaha untuk mendapatkan hidayah haqiqi. Sedangkan, tujuan utama Al-Quran adalah untuk memudahkan kita semua mendapat hidayah haqiqi.
Apabila manusia mula mengabaikan fungsi utama Al-Quran, kerosakan pasti akan berlaku. Tidak dinafikan, mencari ilmu di dalam Al-Quran itu penting seperti yang saya sudah jelaskan di atas, tetapi itu belum menjami seseorang itu akan selamat.
Hidayah vs Dhalalah
Seseorang yang memperoleh hidayah dijadikan sebagai contoh yang paling kanan dan mereka yang perlu kita contohi, iaitu para nabi, sahabat, syuhada', muhsinin dan lain-lain.
Namun di sebelah satu lagi, lawannya adalah kesesatan, dan kesesatan itu juga mempunyai pelbagai jenis. Sebagai mana hidayah, kesesatan juga boleh dibahagikan kepada kesesatan ilmu dan kesesatan haqiqi.
Kesesatan ilmu adalah apabila seseorang tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk mendapatkan hidayah haqiqi.
Kesesatan haqiqi adalah yang paling kita semua perlu jauhi, iaitu kesesetan yang tidak akan dapat diselamatkan lagi.
Apa yang menghalang seseorang dari menerima hidayah?
Musuh-musuh hidayah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, yang saya bahagikan kepada dua:
- Musuh yang akan menyerang umat
- Musuh yang akan menyerang individu
Kenapa saya bahagikan begini? Ini kerana kita perlu jelas akan kekurangan-kekurangan kita sekarang.
Musuh yang akan menyerang kita sebagai satu jemaah atau umat, ada dua (Al-Fatihah):
- Tidak berilmu
- Tidak beramal
Isu ini merupakan isu jemaah, yang perlu diselesaikan secara berjemaah. Contoh jemaah yang tewas akan musuh ini dahulu adalah golongan Yahudi dan Nasrani.
Musuh yang lain, yang menyerang kita sebagai individu (Al-Falaq & An-Nas):
- Syaitan dari kalangan jin
- Syaitan dari kalangan manusia
Isu ini kita hanya boleh berusaha secara bersendiri, dan hanya Allah s.w.t yang berhak dan berkuasa melindungi diri kita dari musuh ini. Dan syaitan akan berusaha bersungguh-sunguh menyesatkan kita, dan kesesatan yang paling nyata adalah apabila kita menurut langkah Iblis, takabbur dan enggan merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t apabila diperintah.
Sudah nampak yang mana kita kurang?
Kadang-kadang kita terlalu mengagung-agungkan satu isu, sedangkan isu lain kita abaikan.
Kita lupa untuk berharap kepada Allah s.w.t supaya melindungi keimanan kita. Walau banyak mana ilmu dan amal kita, tetapi hidayah haqiqi itu masih milik Allah. Bagaimana kita mahu mendapatnya sekiranya kita tidak memohon perlindungan dari Allah s.w.t dari bisikan syaitan dan pengaruh hawa nafsu dari diri kita sendiri.
Kita meninggalkan sebahagian dari Al-Quran, dan beriman hanya kepada sebahagiannya, walhal kedua-duanya dititik beratkan di dalam Al-Quran.
Kesimpulan
Sedarlah, hanya Allah s.w.t yang mempunyai kuasa mutlak memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan dia jugalah yang mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang kesesatan dari mendekati kita.
Apabila kita banyak membaca dan menulis, sedangkan kualiti solat kita masih kurang. Apabila kita habiskan masa berhujah dan berbahas, sedangkan waktu sujud kita dengan Allah s.w.t sendiri makin kurang. Apabila kita tidak mampu merendahkan diri kita di hadapan Allah, sedangkan Allah s.w.t sangat benci akan orang yang takabbur.
Adakah kita sangka kita sudah berada antara golongan yang benar? Allah s.w.t sahaja yang tahu, adakah kita ini antara yang menerima hidayah dari-Nya atau kita antara mereka yang tertipu dengan angan-angan kita sendiri.
Jadi rendahkanlah diri kita kepada Allah. Berharap sepenuhnya kepada Allah s.w.t supaya Dia memberikan kita hidayah. Bergantung sepenuhnya kepada-Nya supaya melindungi diri kita dari musuh-musuh hidayah. Jadilah seperti hamba yang baik, dan jangan sesekali menganggap dirimu sebagai Tuhan kerana ia merupakan seburuk-buruk kezaliman.
-----
Farhan Syah
No comments:
Post a Comment