Bismillah.
Kali ini saya ingin menulis berkenaan kepimpinan. Sekali lagi - KEPIMPINAN (Bukan politik). Ada banyak sebab saya lebih gemar gunakan perkataan kepimpinan dari perkataan politik.
Apakah yang menyebabkan berjayanya pembukaan Kota Mekah? Apakah yang berjaya menyelesaikan kemelut 'Aus dan Khazraj? Apakah yang berjaya menyatukan bangsa Arab? Benar, bantuan dari Allah, tetapi antara elemen yang penting lain adalah kepimpinan Rasulullah s.a.w sendiri.
Kepimpinan (bukan politik) adalah satu yang indah dalam islam. Ia merupakan sebahagian besar dari islam. Menolak adanya kepimpinan bererti menolak Islam dan Allah sepenuhnya.
Kepimpinan vs Politik
Melihat kemelut yang berlaku sekarang, saya cuba untuk melihatnya dari sudut kepimpinan, dan bukan politik? Mengapa?
Definisi politik itu sendiri berbelah bahagi, dan masih lagi diperdebatkan. Sumber rujukan untuk politik pula biasanya dari barat atau dari tamadun-tamadun yang tidak berkaitan dengan Islam.
Berbeza dengan kepimpinan, kita ada sumber rujukan kita sendiri, iaitu Al-Quran, Sunnah, dan sejarah-sejarah umat Islam dahulu. Apabila kita berjaya melihat isu ini sebagai isu kepimpinan, barulah kita mampu mengambil manfaat dari sumber ilmu yang betul.
Sebab yang lain, saya mungkin mempunyai sedikit ilmu dalam kepimpinan dalam Islam (bukan bermakna saya layak atau mampu memimpin), tetapi mungkin hampir kepada tidak tahu apa-apa berkenaan politik.
Juga perlu saya maklumkan, saya tidak suka politik bukan bermakna saya tidak suka kepimpinan, dan saya tidak suka politik bukan bermakna saya tidak suka kepada orang yang terlibat dalam politik. Saya mempunyai rakan-rakan yang terlibat dalam politik, dan saya hormati dan kagum dengan mereka semua :)
*
Sekarang, saya cuma ingin mengajak kita semua kembali kepada Al-Quran dan sunnah untuk membantu kita semua memahami apa yang sedang berlaku sekarang.
Kalau politik, mungkin susah untuk kembalikan kepada al-Quran dan sunnah, tetapi kepimpinan, ia memang berasal dari al-Quran dan sunnah. Jadi kembalilah kepada sumber ilmu.
*
Kita boleh lihat isu kepimpinan di Malaysia sekarang. Kita boleh lihat, banyak pihak cuba untuk naik ke atas, untuk menjadi pemimpin yang cuba membawa ideologi-ideologi yang berbeza.
Saya hormati mereka semua, dan masing-masing mempunyai idea, visi dan misi yang boleh difahami, walaupun bukan semua dari idea-idea tersebut boleh diikuti.
Saya sebagai orang awam dan rakyat biasa cuba untuk mencari jalan tengah, berkenaan bagaimana kita boleh melihat semua ini, dan sebagai cadangan kepada semua yang terlibat untuk memperbaiki diri demi kesejahteraan semua.
PKR
Objektif, visi dan misinya memang agak menarik, terutama bagi kita sebagai rakyat. Kita sebagai orang Islam juga merasa bahawa ia akan bawa kebaikan kepada Islam sedikit sebanyak.
PKR mempunyai ramai ahli dari golongan intelektual dan pakar. Ia merupakan kelebihan mereka, dan juga merupakan kelemahan mereka.
Semakin hari, kita boleh rasa kita semakin dipandang sebagai bukan dari mereka, dan kita hanya objek untuk mencapai matlamat mereka sahaja. Mereka mungkin ada ilmu, tetapi mereka ada beberapa bahagian yang mereka lupa untuk perbaiki.
1. Istiqamah - Mereka perlu firm dalam apa yang mereka inginkan. Meskipun para musyrikin Mekah menentang Rasulullah, mereka tidak dapat melawan apa-apa hujah Rasulullah s.a.w, dan mereka sangat kagum dengan apa yang Rasulullah dan Al-Quran sampaikan. Tidak pernah melencong dan berubah walau sedikit pun. Itu merupakan bukti kebenaran.
Tetapi apabila seseorang bertindak seperti dedaun yang kerap beralun ke sana ke mari, ia hanya akan menunjukkan kelemahan diri sendiri sahaja. Bahkan, para pengikut yang sedia ada juga akan semakin ragu-ragu dengan kepimpinan yang ditunjukkan.
2. Kebenaran yang jelas (Bayyinah) & Ketelusan
Tidak boleh menganggap orang awam atau rakyat lain ini semua cerdik pandai yang tidak perlukan apa-apa penjelasan, atau orang bodoh yang tidak akan faham apa-apa walaupun dijelaskan. Sekiranya mahu lakukan sesuatu, jelaskanlah dahulu kepada rakyat yang melantik diri anda, dan ambil pendapat mereka. Kita dipilih untuk memimpin, bukan untuk menjadi diktator.
Setiap mesej Rasulullah s.a.w adalah jelas kepada orang muslim dan kafir. Dalam hal-hal tertentu sahaja, Rasulullah diarahkan oleh Allah s.w.t untuk tidak bercakap apa-apa terutama mengenai perkara ghaib. Itu rasulullah, dia menerima wahyu dari Allah s.w.t. Kita tidak boleh menganggap kita ini seperti para nabi.
Kalau dahulu kamu boleh bersikap jelas saat memancing undi kami, mengapa sekarang kamu bersikap sebaliknya pula?
Benar, dalam sesetengah hal, kita perlu pendam terutama hal-hal yang privasi, tetapi lakukannya setelah melakukan pertimbangan yang betul. Berdasarkan apa? Berdasarkan apa yang Allah suka. Adakah Allah suka aku buat begini? Adakah ia akan mendekatkan aku kepada Allah, atau menjauhkan aku dari-Nya?
Pemimpin jenis ini kena sentiasa sujud kepada Allah, rendahkan diri di hadapan Allah, dan sentiasa rujuk ilmu dari Allah s.w.t. Lantang berbicara dengan manusia jangan sampai lantang berbicara dengan Allah s.w.t. Ketahui tempat kita, bahawa hanya Allah s.w.t yang menentukan segalanya.
Bagaimana kami mahu menyokong kamu sekiranya kami tidak tahu pun apa yang kamu mahu?
PAS
Kumpulan kepimpinan yang menarik. Matlamat utamanya jelas, iaitu untuk mendapat redha Allah.
Saya suka PAS kerana istiqamah mereka. Ini merupakan suatu yang cukup susah didapati dalam kumpulan-kumpulan kepimpinan lain. Apabila ia hilang, maka hilanglah apa yang menjadikan PAS satu parti yang berkaliber.
Melihat sahabat yang berkecimpung dalam PAS, alhamdulillah, nampak perkembangan yang baik. Mereka mula merancang untuk masa hadapan, dengan melatih generasi-generasi baru yang akan bakal menggantikan pimpinan-pimpinan lama. Ia juga suatu yang baik, sebagaimana Rasulullah s.a.w melatih para sahabat.
Sekiranya PAS istiqamah dalam apa yang mereka lakukan, dan perbaiki kekurangan mereka, insya-Allah satu masa nanti mereka akan lihat kejayaan.
Tetapi, isu dalam PAS adalah jemaah. Kekuatannya adalah jemaahnya, dan kelemahannya juga adalah jemaahnya. Apabila mereka mula berpuak-puak, itulah tanda mereka akan berpecah. Apabila mereka sukar menerima pandangan pihak lain, itulah tanda takabbur sudah mula meresap dalam diri mereka, dan benih-benih 'asabiyyah sudah ditanam.
PAS akan menjadi lebih kuat apabila isu-isu remeh diketepikan dan semua disatukan oleh seorang pemimpin yang berwibawa. Kalau dahulunya kunci kepada mengekalkan jemaah ini adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz - seorang ulama' dan juga seorang pemimpin, PAS juga memerlukan sesuatu yang sama atau lebih baik.
ISMA
Pemain baru. Matlamat dan perjuangan mereka jelas. Saya mempunyai sahabat-sahabat dari kalangan mereka, dan saya kagum dengan perjuangan dan cara mereka, dan bagaimana mereka cuba ingin membangkitkan Islam. Cara tarbiah, silibus, rangkaian dan sistem usrah mereka merupakan sesuatu yang boleh dipuji.
Mungkin ramai yang belum faham, atau ramai silap faham, dan saya tidak salahkan mereka yang salah faham tersebut. Kesilapan ini adalah kerana ISMA sendiri.
Isu di dalam ISMA adalah HIKMAH. Tiadanya hikmah dalam apa yang kita lakukan akan menjadikan sesuatu yang kita sasarkan, walaupun ia baik, akan dipandang buruk oleh orang ramai. Sebahagian besar dari Al-Quran dan sunnah bercerita mengenai hikmah.
Dakwah dan kepimpinan Rasulullah s.a.w sendiri berhikmah. Apabila kita terlalu mempertahankan ideologi, dan berkeras untuk mengekalkan pendapat kita, tanpa memikirkan akibat dan cara-cara untuk berhikmah dalam bertindak, secara tidak langsung kita bukan mengajak orang kepada apa yang kita perjuangkan, tetapi kita memberikan lesen kepada mereka untuk memusuhi kita.
Isu lain adalah RAHMAH. Bila kita selalu melakukan sesuatu hanya mengikut buku panduan, itu lah masalahnya. Fahami hati budi, perangai, jiwa, dan emosi sesiapa yang kita ingin kita sampaikan mesej kepadanya. Lain pihak, maka lainlah caranya. Dan ia tidak boleh dipelajari hanya dengan mengikut manual atau undang-undang. Belajar untuk mengasihi, sekiranya kita mahu dikasihi Allah s.w.t. Dan seseorang yang dikasihi Allah s.w.t, insya-Allah akan dikasihi umat Islam yang lain.
*
Ingatlah, kepimpinan adalah bukan siapa yang paling lantang berbicara, tetapi yang tindakannya membuat orang lain terdiam dan akur. Bukan yang membuatkan umat Islam berpecah, bahkan menyatukannya. Bukan yang akan wewujudkan prasangka dan kekeliruan.
Rakyat mahukan situasi yang aman. Kami mahukan hak kami disampaikan, dan kami akan bantu sesiapa yang ikhlas kerana Allah membantu kami. Sekiranya kamu baik, maka kami akan baik kepada kamu, namun sekiranya kamu jahat, maka hanya kepada Allah kami mengadu.
No comments:
Post a Comment