Ramai yang bertambah selera menikmati hidangan apabila menu berlauk dihidangkan sekali dengan sambal belacan kegemaran semua. Tetapi bukan mudah untuk membuat sambal belacan yang istimewa dan benar-benar sedap!
Disini Mingguan Wanita kongsikan kepada anda petua ataupun panduan dalam membuat sambal belacan yang sememangnya lebih enak. Ikuti panduannya seperti yang tertera dibawah.
Tumbuk atau kisar cili merah, cili padi (ikut suka pedasnya) hingga lumat. Menurut petua lama, jumlah cili adalah mengikut nombor ganjil seperti 5,7,9 dan 11 tangkai.
Kemudian, bakar atau goreng belacan (di dalam sedikit minyak), baru dimasukkan ke dalam cili tadi. Gula pasir dan garam boleh dimasukkan sekali. Tumbuk lagi.
Ada tiga pilihan asam yang boleh anda sediakan. Pertama asam jawa. Untuk menggunakan asam jawa, pastikan bahan itu diperah dengan air masak, biar pekat. Pilihan yang kedua adalah dengan menggunakan hirisan tomato atau mempelam masam, caranya dengan tumbuk kasar bersama cili. Akhir sekali adalah jus limau nipis atau limau kasturi dan lain-lain.
Namun perlu diingatkan bahawa sambal belacan yang sedap sangat bergantung kepada orang yang memakannya. Ini kerana kita mempunyai tahap ketahanan pedas yang berbeza. Ada orang yang ldiahnya sangat peka, sedikit cili sudah cukup pedas dan ada yang sebaliknya. Jadi, sambal yang sedap adalah daripada pengalaman diri sendiri yang menyediakannya atau yang dimakan di rumah orang. Yang penting, imbangi manis, masin dan masam.
Sumber: Majalah Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment