MENDENGAR bunyi deruan air sungai mengalir sambil menikmati hidangan nasi dalam buluh mungkin sukar dibayangkan oleh kebanyakan orang. Apa tidaknya, suasana itu dikatakan hanya dapat dialami di satu-satunya tempat di negara ini iaitu di Gerik dalam daerah Hulu Perak.
Nasi buluh atau lebih dikenali sebagai nasi lemang itu merupakan hidangan tradisional masyarakat keturunan Melayu Pattani yang merupakan majoriti masyarakat di sini.
Melihatkan potensi masakan itu, pemilik Kafe Castella, Mohd. Isa Mohd. Ramli, 41, membuka kedai makan yang menyajikan menu tradisional itu di Kampung Padang Stang, Kerunai, Gerik, Perak.
"Saya baru saja membuka perniagaan ini lebih kurang tiga bulan lalu selepas mendapat permintaan daripada rakan-rakan yang menggemari hidangan tersebut.
"Pelanggan boleh menikmati keindahan alam semula jadi sambil menjamu selera memandangkan kafe ini terletak betul-betul di tepi Sungai Berok.
"Lokasi ini juga bertepatan dengan konsep menu kampung restoran ini," ujar bapa kepada dua orang anak ini.
Antara makanan yang ditawarkan ialah gulai ikan baung, siput, ikan kelah, umbut bayah dan rotan serta ulam-ulaman.
"Kesemua hidangan tersebut dimasak menggunakan resipi turun-temurun keluarga oleh kakak saya, Fariah Mohd. Ramli, 50.
"Menu paling istimewa sudah tentulah nasi buluh.
"Nasi ini dimasak selama dua jam menggunakan buluh lemang," jelasnya yang dibantu empat orang pekerja.
Daun bemban
Mengulas lanjut, Mohd. Isa berkata, nasi buluh sudah lama popular di daerah itu tetapi tiada restoran yang menyediakan menu tersebut sebelum ini.
"Keistimewaan nasi buluh ini terletak pada penggunaan daun bemban sebagai pewangi nasi.
"Ini kerana daun bemban digunakan bagi membalut beras tersebut sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dimasak.
"Daun bemban merupakan tumbuhan liar yang boleh ditemui di dalam hutan sahaja. Kebiasaannya saya cari daun ini di pinggir hutan dan kawasan paya," katanya yang juga orang kelainan upaya (OKU).
Ujarnya, daun bemban berbentuk seperti daun sirih manakala saiz sebesar tapak tangan dipilih bagi memudahkan kerja membungkus beras.
"Sebanyak 15 hingga 25 bungkus beras boleh dimuatkan ke dalam sebatang buluh bergantung pada saiz buluh berkenaan.
"Nasi tersebut dimasak seperti lemang, bezanya buluh lemang diisi dengan santan tetapi nasi buluh dicampur dengan air. Lemang dibuat daripada beras pulut tetapi nasi buluh menggunakan beras biasa.
"Selain itu, nasi buluh juga boleh direbus dan dikukus di dalam periuk," katanya yang turut menjual ikan pekasam.
Jelasnya, pembantunya akan mencari bahan-bahan seperti buluh dan daun bemban sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.
"Saya hanya akan memasak nasi buluh kalau ada permintaan. Selalunya saya akan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan sehari lebih awal.
"Ini kerana buluh dan daun bemban cuma boleh diperoleh di dalam hutan dan selalunya memakan masa untuk mencarinya.
"Pada kebiasaannya, kami akan mengambil kira-kira 200 helai daun bemban setiap kali masuk ke dalam hutan," katanya sambil memberitahu, nasi tersebut enak dimakan bersama ikan pekasam, masak lemak cili api dan sambal sardin.
Tidak beracun
Mohd. Isa berkata, selain daun bemban, daun lerek juga boleh digunakan tetapi ia sukar diperoleh.
"Harga nasi buluh ini ditentukan mengikut saiz buluh iaitu dalam lingkungan RM25 hingga RM30. Boleh dikatakan, tiga bungkus nasi sudah memadai untuk seorang makan.
"Saya sekadar menyediakan 50 bungkus nasi pada hujung minggu dan memasaknya berdasarkan tempahan pelanggan pada hari biasa," jelasnya sambil menambah, walaupun tumbuh liar, daun bemban tidak beracun.
Katanya, selain nasi buluh, pihaknya turut menawarkan masakan tradisional yang lain pada harga RM10 ke atas. Malah, ikan kelah masak lemak cili api dijual sehingga RM200 sehidangan memandangkan ikan itu sukar diperoleh.
"Buat masa ini, saya tidak membuka tempahan untuk katering kerana mahu memberi tumpuan kepada kafe ini terlebih dahulu.
"Walaupun begitu, saya mungkin menawarkan pakej penginapan dan makanan bagi membolehkan pelanggan menjamu selera sambil menginap di calet yang disediakan.
Menurut Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, makanan tradisional kampung seperti nasi buluh itu selalunya dijamu oleh penduduk kampung pada majlis tertentu seperti majlis pemimpin bersama rakyat.
"Asalnya, makanan ini sering dihidangkan pada majlis keramaian masyarakat Melayu Pattani.
"Makanan ini sememangnya popular di sini tetapi tiada restoran yang menawarkannya.
"Selalunya kita akan hidangkan sekiranya ada lawatan dari luar dan masakan itu disediakan secara gotong-royong," jelasnya.
Katanya, hanya sesetengah kampung di Gerik yang masih memasak nasi buluh itu.
"Makanan tradisi ini juga menjadi menu wajib pada Karnival Masakan Pattani yang diadakan di daerah Lenggong setiap tahun.
"Kita juga merancang untuk mengkomersialkan makanan ini kerana ia makanan jarang jumpa selain dapat membantu sektor pelancongan di daerah ini," ujarnya.
Sementara itu, pelanggan, Wan Roslan Wan Abu Bakar, 41, memberitahu, dia akan memastikan menu nasi buluh itu dijamah setiap kali pulang ke Gerik.
"Selalunya, sebelum pulang ke kampung, saya akan menelefon Mohd. Isa untuk membuat tempahan nasi ini.
"Bagi mereka yang sudah terbiasa dengan keenakan nasi buluh ini pasti tidak akan melepaskan peluang tersebut apatah lagi ia jarang ditemui terutamanya di Kuala Lumpur.
"Selain menjamu selera, kami juga dapat berkelah dan mandi-manda di kawasan sungai berdekatan," katanya.
Pelanggan, Razman Ridzuan, 47, memberitahu, dia dan keluarga kini kerap pulang ke Gerik untuk bercuti.
"Saya keluar dari Gerik pada tahun 1983 dan saya jarang pulang ke kampung sejak itu apatah lagi sudah menetap di Kuala Lumpur.
"Tetapi kini, saya kerap pulang ke kampung dan tidak melepaskan peluang merasai keenakan nasi buluh ini.
"Saya akan membuat tempahan nasi buluh ini setiap kali pulang bercuti di kampung malah anak-anak juga menyukai nasi buluh ini," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3BGAZ4siC
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment