Sumber: Kosmo
BERWARNA kuning, bertompok biru di kepala dan belakang, berbaju putih serta berseluar hijau, maskot Piala Dunia 2014 di Brazil, Fuleco pasti mencuri tumpuan para peminat bola sepak di seluruh dunia sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Maskot yang diilhamkan daripada haiwan purba tempatan, armadillo itu telah diperkenalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak November 2012.
Nama Fuleco diperoleh hasil gabungan perkataan bola sepak dan ekologi dalam bahasa Portugis iaitu futebol serta ecologia.
Menurut FIFA, pemilihan armadillo sebagai maskot bukan sahaja menjadi duta kepada kejohanan tersebut malah ia bagi mempromosikan haiwan ikon negara samba itu.
Walaupun maskot tersebut dilihat ceria dan menarik di dalam stadium setiap kali sebelum perlawanan berlangsung, namun hakikatnya, haiwan yang mempunyai purata panjang 70 sentimeter itu semakin pupus akibat arus pemodenan.
Armadillo atau nama saintifiknya Tolypeutes tricinctus merupakan haiwan yang tergolong dalam kumpulan Dasypodidae. Ia hanya boleh ditemui di benua Amerika Selatan terutamanya di dalam hutan tropika, Caatingga di timur laut Brazil.
Armadillo memiliki kaki yang pendek tetapi ia boleh bergerak pantas apabila terancam kerana mempunyai kulit luar yang sesuai untuk pergerakan di dalam hutan.
Haiwan ini tidak mempunyai gigi yang kuat seperti mamalia lain. Hal ini menyebabkan ia hanya mampu memakan serangga kecil seperti semut, pepatung, cacing tanah, rayap, laba-laba, katak, kumbang dan larva.
Kebanyakan masyarakat tempatan menggelarkan haiwan itu sebagai tatu bola atau bola armadillo kerana ia akan menggulungkan dirinya seperti bola apabila diancam oleh musuh.
Perlindungan
Bagi mengatasi kepupusan haiwan berkaki empat itu, para saintis tempatan telah mengesa FIFA dan pihak kerajaan Brazil untuk mewartakan habitat armadillo sebagai kawasan perlindungan.
Pihak pemerintah telah bertemu dengan para saintis bagi membincangkan isu tersebut, namun FIFA masih belum memberi sebarang jawapan terhadap cabaran itu.
Walau bagaimanapun, badan bola sepak itu menyatakan, pihaknya telah membuat bayaran sebanyak RM6,244 kepada Persatuan Caatinga yang bertanggungjawab melindungi spesies tersebut.
Namun para saintis menyifatkan jumlah tersebut masih kurang berbanding nilai jutaan ringgit yang telah diperoleh FIFA hasil perlesenan jenama barangan dan cenderamata haiwan rasmi itu.
"Sebagai pencinta haiwan dan peminat bola sepak, kami mencabar FIFA dan kerajaan negara ini supaya menetapkan satu matlamat yang nyata.
"Seboleh-bolehnya 1,000 hektar tanah di hutan Caatinga perlu diwartakan sebagai kawasan perlindungan bagi setiap jaringan yang berjaya dihasilkan di Piala Dunia 2014," tulis sekumpulan saintis dalam sebuah artikel dalam majalah Biotropica baru-baru ini.
Berdasarkan rekod, purata gol setiap kejohanan Piala Dunia sejak dianjurkan pada tahun 1930 ialah sekitar 170.
Sehubungan itu, 170,000 hektar tanah di hutan tersebut perlu diwartakan selain pemilihan kawasan perlindungan yang baharu.
"Mesejnya jelas, jika tiada langkah diambil, haiwan unik ini akan lenyap begitu sahaja.
"Bola sepak ialah minat dan kami berharap orang ramai dapat menunjukkan semangat yang sama untuk memelihara biodiversiti," ujar Enrico Bernard, pakar zoologi di Universiti Perseketuan Pernambuco.
Walaupun armadillo telah disenaraikan sebagai haiwan hampir pupus oleh Kesatuan Antarabangsa dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) sejak dua dekad lalu, namun keadaannya kian meruncing kebelakangan ini.
Tuntutan budaya
"Dalam penilaian akhir haiwan terancam di Brazil pada tahun lalu, armadillo merupakan salah satu haiwan yang paling terancam kerana hampir 50 peratus habitatnya telah musnah sejak 15 tahun lalu," kata Falavia Miranda, Timbalan Pengerusi Tenggiling di IUCN.
Miranda menyeru agar FIFA dapat melabur lebih banyak pendapatannya dalam pemuliharaan spesies dan habitat haiwan tersebut.
Hutan Caatinga meliputi kawasan seluas 845,000 kilometer persegi atau kira-kira 11 peratus daripada wilayah Brazil, namun kini ia semakin berkurang.
"Hutan Caatinga telah diteroka oleh manusia untuk mendapatkan sumber kayu api," kata Rodrigo Castro, Setiausaha Eksekutif Persatuan Caatinga, sebuah badan bukan kerajaan yang bekerja untuk melindungi spesies tersebut selama lebih sedekad.
Di samping itu, antara faktor lain yang menyebabkan haiwan tersebut semakin pupus ialah aktiviti pemburuan dan ternakan.
Dianggarkan lebih 20 juta orang tinggal di hutan Caatinga, kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin di Brazil yang menjadikan armadillo sebagai haiwan peliharaan dan pemburuan disebabkan tuntutan budaya dan kepercayaan.
Kata Castro, hutan Caatinga merupakan ekosistem yang kurang dikenali dan dilindungi di Brazil. Hanya satu peratus kawasan tersebut berada di bawah perlindungan undang-undang.
Tambahnya, FIFA tidak bertindak balas secara langsung dengan cabaran yang dilontarkan dalam majalah Biotropika.
"Hasil kaji selidik yang dijalankan menunjukkan 95 peratus daripada penduduk Brazil tahu mengenai jualan cenderamata Fuleco sepanjang Piala Dunia 2014 berlangsung.
"Namun, masih ramai yang belum mengetahui mengenai kisah sebenar yang berlaku terhadap armadillo," kata Castro.
Awal bulan ini, Kementerian Alam Sekitar Brazil telah menjemput sekumpulan 30 saintis termasuk Castro berkunjung ke Serra das Almas, bagi membantu merangka pelan khas lima tahun bagi pemuliharaan armadillo di Brazil.
Antara langkah yang dicadangkan dalam pelan tersebut termasuklah penubuhan kawasan perlindungan baharu, pengurangan aktiviti penebangan hutan dan mengadakan program pendidikan alam sekitar kepada masyarakat terutamanya kepada pelajar sekolah.
"Kita perlu berkerja keras dalam proses pemulihan habitat, penciptaan rizab semula jadi yang baharu dan memerangi pemburu," ujar Flavia Miranda yang juga Penyelaras Eksekutif Pelan Pemuliharaan tersebut.
Pelan tersebut merupakan salah satu langkah yang penting. Namun, tindakan segera harus diambil untuk mencapai matlamat dalam tempoh yang telah ditetapkan.
"Armadillo telah berjaya menghidupkan Fuleco, namun Fuleco masih belum mampu membantu armadillo untuk terus hidup.
"Kami berharap orang ramai yang menonton perlawanan Piala Dunia 2014 sedar dengan nasib haiwan ini," tambah Miranda.
Dalam pada itu, dia juga berharap Piala Dunia 2014 boleh menjadi pencetus kepada legasi aktiviti pemeliharaan biodiversiti terutamanya armadillo daripada terus pupus.
No comments:
Post a Comment