Sunday, October 26, 2014

Aplikasi terkini untuk pengurusan inventori dan aliran wang

SEPANJANG lima tahun berkecimpung dengan perniagaan secara dalam talian, Emerilda Sani, 36, sentiasa mencatatkan aliran wang dan stok barangan yang dijual.
Baginya, catatan itu merupakan kaedah penting yang perlu dilakukan saban hari dan waktu terutama apabila mendapat tempahan daripada pelanggan.
Ia juga merupakan satu kaedah penyimpanan data inventori atau senarai terperinci barangan serta produk yang dijual.
Sebagai seorang usahawan dalam talian sepenuh masa, catatan di atas kertas itu akan sentiasa dibawa ke mana-mana untuk merekod jualan dan inventori. Walaupun ia direkodkan menerusi cara manual iaitu dengan tulisan tangan pada kertas, Emerilda sentiasa menyimpannya dengan rapi.
“Rekod jualan dan aliran wang perniagaan merupakan perkara penting yang perlu direkodkan. Sebagai seorang usahawan dalam talian, pelanggan akan menempah produk yang dijual tanpa mengira masa. Setiap kali mendapat tempahan, saya pasti akan merekodkan jualan dan aliran wang masuk ke akaun bank,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Sejak dua bulan lalu, kerja merekod jualan dan aliran wang perniagaan produk melangsingkan badan, minuman penyahtoksikan dan kolagen yang dijual oleh Emerilda semakin lancar.
Bagaimanapun, kunjungan ke sebuah ekspo usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini memberikan idea mengenai kaedah baharu kepadanya untuk merekod jualan dan inventori perniagaannya menerusi aplikasi pada peranti mudah alih Android iaitu Puff Inventory.
Aplikasi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat bumiputera, Atas Awan Sdn. Bhd. itu ternyata memudahkan Emerilda untuk menguruskan perniagaannya. Baginya, aplikasi Puff Inventory memudahkannya untuk membuat semakan stok produk yang masih ada dalam simpanannya untuk dijual kepada pelanggan.



Apabila mendapat panggilan daripada pelanggan, Emerilda akan terus merekodkan permintaan produk itu menerusi telefon pintarnya.
“Puff Inventory merupakan satu langkah untuk merekod jualan dan inventori produk dengan mudah. Menerusi aplikasi itu, saya boleh merekodkan kesemua produk yang dijual dengan kod nama yang telah ditetapkan berserta harga. Ia memudahkan proses untuk merekod aliran penjualan setiap produk.
“Bagi saya, tetapan yang paling membantu menerusi aplikasi ini ialah kalkulator yang dihubungkan terus dengan rekod jualan. Apabila pelanggan meminta diskaun, saya boleh mengira amaun tepat dengan catatan pengurangan harga yang turut direkod,” ujar Emerilda yang juga Ketua Biro Wanita Persatuan Usahawan Internet Malaysia.
Pautan
Aplikasi Puff Inventory tidak berhubung atau mempunyai pautan dengan akaun bank. Pengguna aplikasi akan memasukkan data mengenai senarai produk dan harga dalam tetapan kategori yang telah disediakan. Ia membantu memudahkan usahawan untuk merekod jualan dan inventori perniagaan mereka.
Menerusi aplikasi yang mula berada di pasaran Google Play sejak Ogos lalu, usahawan tidak perlu lagi menulis data inventori, rekod dan resit jualan. Tugas itu kini diganti dengan menggunakan telefon pintar atau gajet Android yang menjadi keperluan seharian.
Aplikasi yang merekodkan jualan dan inventori pertama dibangunkan oleh anak tempatan itu merupakan kaedah terbaik untuk membantu usahawan PKS di negara ini.
Dua anak muda, Razman Yusof Mohd Sarit, 32, dan Aridzan Idzwan Alias, 34, yang berpengalaman luas dalam bidang perisian komputer membuat penyelidikan khusus mengenai sistem rekod jualan dan inventori di Malaysia. Ternyata terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh usahawan PKS di negara ini.
Masalah utama yang dihadapi oleh usahawan PKS di Malaysia ialah tiada penyelarasan rekod jualan dengan laporan inventori. Rekod jualan perlu diselaraskan dengan inventori untuk mendapatkan laporan penjualan serta kemasukan stok produk yang tepat.




Razman yang juga merupakan Pengarah Urusan Atas Awan Sdn. Bhd. memberitahu, berdasarkan kajiannya mengenai rekod jualan dan inventori itu, terdapat beberapa faktor PKS tidak mengamalkan kaedah sistematik.
Antaranya ialah mesin rekod jualan seperti mesin juruwang automatik di kios kecil terlalu mahal yang dianggarkan berharga RM2,500 hingga RM6,000. Sudahlah harga mesin yang mahal, ia juga tiada integrasi terkini, tidak stabil, rekaan lama, tidak boleh diakses dengan segera dan tiada sistem sandar internet.
Jelasnya, harga yang tinggi merupakan faktor utama kebanyakan usahawan PKS tidak akan melaburkan wang mereka untuk membeli mesin juruwang.
“Aplikasi ini dibangunkan bertujuan untuk membantu usahawan PKS merekodkan jualan dan inventori produk mereka. Usahawan juga dapat melihat graf jualan produk mereka di laman web. Ia membantu usaha untuk memantau jualan produk mereka dengan segera.
“Puff Inventory menggunakan kaedah perkomputeran awan (cloud computing) menerusi sistem Amazon Web Service. Pengguna aplikasi boleh mengakses akaun mereka pada setiap masa di semua lokasi untuk merekodkan jualan dan inventori perniagaan mereka menerusi sistem keselamatan unique user identification data (UUID).
“Sistem ini juga tidak boleh di godam dan kesemua data disimpan dengan selamat,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pejabat Atas Awan Sdn. Bhd. di Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain usahawan dalam talian, aplikasi Puff Inventory juga boleh digunakan oleh peniaga di kios kecil di pasar raya. Pemilik kios dapat memantau rekod jualan produk dan aliran wang masuk menerusi aplikasi tersebut dengan jaringan internet.
Bagi peniaga dalam talian, mereka boleh menghantar resit jualan kepada pelanggan menerusi sistem pesanan ringkas, aplikasi WhatsApp dan e-mel sebagai bukti pembelian. Menerusi teknologi Bluetooth, usahawan PKS boleh mencetak resit secara terus menerusi mesin pencetak untuk diberi kepada pelanggan.


Teknologi terkini
Razman Yusof yang pernah bekerja dalam bidang teknologi maklumat di United Kingdom berkata, Puff Inventory merupakan ideanya bersama empat orang ahli pembangun Atas Awan Sdn. Bhd. untuk memberi galakan kepada usahawan PKS menyimpan rekod jualan dan inventori secara lebih sistematik dengan menggunakan teknologi terkini.
“Berdasarkan kajian kami, telefon pintar Android menjadi pilihan pengguna gajet di Malaysia. Gajet Android juga terdapat dalam pelbagai saiz dan disebabkan itu kami memilih untuk membangunkan aplikasi Puff Inventory menerusi platform itu. Jika di kios kecil, tablet Android boleh dijadikan sebagai mesin juruwang untuk merekod jualan.
“Setiap maklumat yang dimasukkan menerusi aplikasi itu akan diselaraskan dengan data dalam akaun pengguna di laman web. Ia memudahkan usahawan untuk melihat pergerakan kategori produk jualan mereka menerusi catatan graf,” ujar graduan Ijazah Sarjanna Muda Kejuruteraan Komputer, Universiti Birmingham dan graduan Ijazah Sarjana Pengurusan, Universiti Wolverhampton, United Kingdom itu.
Puff Inventory boleh dimuat turun secara percuma di Google Play manakala untuk nama pengguna dan kata laluan bagi mengakses aplikasi itu terbahagi kepada tiga kategori bayaran bulanan iaitu Standard, Perak dan Emas.

Bermula dengan bayaran serendah RM49.90 sebulan bagi kategori Standard, dua nama pengguna dibenarkan untuk mengakses akaun aplikasi itu. Meskipun hanya dua nama pengguna, usahawan boleh memasukkan pelbagai perniagaan yang dijalankan mereka tanpa batasan dalam akaun itu.


No comments: