Bagaimana hendak mengurangkan rasa pedas di dalam masakan bercili, contohnya sambal nasi lemak , sambal tumis ikan atau ayam? Berikut ada panduan yang boleh anda cuba.
Cili kering yang lebih keriting adalah jenis yang lebih pedas jika dibandingkan dengan cili kering yang bentuknya masih seperti cili biasa dan berkulit licin. Pastikan anda membuang bijinya sebelum dikisar kerana jika banyak biji, pedasnya akan bertambah. Seelok-eloknya, gunting menyerong, buangkan biji dan rendam di dalam air panas hingga lembut. Buang juga biji yang mendap di dalam rendaman itu. Jika suka, bolehlah tambahkan 2-3 tangkai cili merah (juga dibuang bijinya) ke dalam cili kering yang dikisar dengan bawang besar, bawang merah, bawang putih dan belacan.
Kadang kala, masakan bercili benar-benar pedas kerana keseimbangan antara manis dan masamnya tidak kena. Dalam soal ini, memang baik anda menambah air asam jawa atau asam gelugur ke dalam masakan. Jika inginkan sambal anda merah, boleh juga digantikan dengan air asam jawa dengan sos tomato atau sos cili atau ½ camt tomato puri. Sememangnya setiap jenis sambal mesti dibubuh gula agar rasanya lebih seimbang dan menyelerakan.
Jika anda suka, boleh gantikan dengan gula merah (memberi warna agak berbeza untuk sambal). Perlu diingat, jangan sekali-kali menambah serbuk lada putih atau hitam ke dalam masakan bercili kerana ini benar-benar akan membuatkan anda terlalu pedas! Mungkin anda juga perasan , jika sambal anda terlalu pedas, apabila disimpan semalaman di dalam peti sejuk, kemudian dipanaskan keesokannya, rasa pedasnya akan hilang.
No comments:
Post a Comment