Wednesday, November 20, 2013

GOLONGAN YANG DIDOAKAN OLEH MALAIKAT

GOLONGAN YANG DIDOAKAN OLEH MALAIKAT

Ada beberapa golongan yang disebutkan secara nas. Antaranya ialah:

1 - Orang yang menanti waktu solat, yakni orang yang bersedia lebih awal dan siap berwudhuk ketika waktu masuk. Selama mana dia menunggu, selama itulah malaikat mendoakan - “Ya Allah ampunkan dia, Ya Allah kasihanilah (rahmatilah) dia”. Dalam hadis lain, baginda Nabi SAW menyebut yang ringkasnya bermaksud, “Sekiranya manusia mengetahui pahala azan dan saf terawal, maka manusia akan membuat undian untuk mendapatkannya. Sekiranya manusia tahu pahala solat di awal waktu, pasti manusia, pasti kamu semua akan berlumba-lumba menyegerakan solat. Dalam hadis lain, Nabi SAW menyebut “Jika manusia tahu pahala solat Isyak dan Subuh berjemaah, pasti manusia akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak.”

2 - Orang yang melawat orang sakit. Orang kita hari ini ada ‘penyakit’ malas menjenguk orang sakit sedangkan Nabi SAW bersabda, “Mana-mana orang yang pergi ziarah saudaranya yang sakit, maka Allah akan mengutuskan 70 ribu malaikat mendoakan kesejahteraan untuknya, rahmat untuknya, keampunan untuknya, jika dia pergi pagi – daripada pagi sampai petang, jika dia pergi petang – daripada petang sampai pagi. Mudah-mudahan selepas ini, kita segera melawat saudara/kenalan kita yang sakit untuk merebut kelebihan ini.

3 - Orang yang duduk ditikar solat selepas solat. Tidak dinafikan, ada orang terus bangkit dengan segera selepas solat kerana sibuk dengan kerja. Tetapi orang yang duduk akan didoakan malaikat selama mana tidak batal wudhuknya, dengan doa “Ya Allah ampunkan dia, Ya Allah kasihanilah (rahmatilah) dia.” Disamping itu, waktu selepas solat merupakan waktu mustajab doa seperti yang disebut dalam hadis Baginda SAW, riwayat Ahmad. Jadi, bila kita duduk sebelum dan selepas solat, kita bukanlah duduk seorang diri di situ, tetapi kita berada bersama lautan malaikat sebenarnya.

4 - Orang yang mendoakan saudaranya tanpa diketahui saudaranya itu. Doa itu adalah doa mustajab, bahkan dia didoakan pula oleh para malaikat. Sabda Nabi SAW, “Selama mana seorang mukmin mendoakan sahabatnya, maka malaikat akan datang dekat dengan ubun-ubunnya dan berkata, “Amin, amin, amin (Ya Allah, perkenanklah) dan untuk kamu juga sama seperti mana yang kamu minta untuk sahahat kamu.” Oleh itu, kita jangan kedekut doa – kita selalu doa, “Ya Allah, sembuhkan anakku, kayakan aku…”, dan seumpamanya, tetapi semuanya saya, saya, saya. Sekarang kita tukar kepada kami – biar ramai sedikit yang merasa doa kita.

5 - Orang yang berwudhuk sebelum tidur. Biasanya kita dah letih, terus tidur saja. Tetapi Allah telah berikan ‘tawaran’ kepada kita. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan berwudhuk, maka Allah utuskan malaikat tambahan pada ubun-ubunnya khusus untuk mendoakan dirinya dengan doa – Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba-Mu kerana dia telah berwudhuk sebelum tidur.” Ada orang pandang remeh soal ini dan terus tidur tanpa wudhuk, tetapi bagi orang yang hatinya kuat dan mengharapkan keampunan Allah, maka dia akan mujahadah untuk berwudhuk sebelum tidur. Bila malaikat mendoakan, kita kan cenderung untuk mudah bangun qiyammullail.

6 - Orang yang berada dalam majlis ilmu. Oleh itu, orang yang berada dalam majlis ilmu biasanya tenang kerana ada banyak malaikat, tetapi janganlah sampai tenang sehingga tertidur pula...

Wallahualam..

~ Ustazah Norhafizah Musa ~

No comments: