Resipi: Rasam
Pagi ini Mamak Haji ingin posting resepi, “Rasam”. Bagi kaum India di Malaysia ini, “Rasam” seperti hidangan yang sukar dipisahkan dalam menu hidangan mereka. Biar apa statusnya, kaya atau miskin satu hidangan yang tidak ketinggalan adalah “rasam”.
Hidangan “Rasam” ini sebenarnya berasal dari Selatan India. Rasam juga terkenal dalam kumpulan resepi antara bangsa dengan nama, ” Indian Clarified Herbal Consomme’ atau sup herba yang terbaik. Hidangan rasam mengandungi ramuan rempah herba yang boleh memberi manfa’at kepada tubuh badan.
BAHAN-BAHAN:
5 tomato (bersaiz sedang dikerat empat bahagian).
1 biji bawang merah labu dihiris.
4 biji bawang putih dibuang kulit dan diketuk. (ada juga tidak membuang kulit tetapi mamak haji tak galakan cara ini).
1 asam Jawa bersaiz bebola lemon.
1 sudu besar (tbsp) gula Melaka atau pasir (biasanya menggunakan “jaggery” – gula merah dari tebu yang belum diproses).
1 sudu kecil halba campur.
10 helai daun kari.
2-3 helai cili kering dipotong dua.
1 sudu kecil biji rempah.*
1 sudu besar biji jintan putih.*
1 sudu besar biji lada hitam.*
1/2 sudu kecil serbuk kunyit.
2 sudu besar minyak masak untuk tumis darat.
2 sudu kecil garam atau secukup rasa.
1/4 sudu kecil “garam masala” sekira ada dalam simpanan kalau tidak ada, tak perlu gunakan.
Nota: Rempah yang bertanda * perlu digoreng kering dan dikisar halus. kalau malas, tumbuk saja gunakan lesong. Serbuk seperti ini boleh buat lebih dan disimpan dalam botol yang kedap udara. Rempah-rempah ini sentiasa akan digunakan dalam siri resepi mamak haji.
CARA-CARA PENYEDIAAN:
1. Perah asam jawa dengan 1 cawan air.
2. Masukkan 4 cawan air kedalam periok bersama dengan tomato dan bawang putih dan bawang yang telah dihiris. Mendidihkan air.
3. Perlahan api dapur dan masukkan semua rempah-rempah yang telah dijadikan serbuk, masukan gula dan air asam. Pastikan rasam tidak lagi mendidih tetapi cuma dalam keadaan “simmering” iaitu mengelegak amat perlahan. Biarkan dalam keadaan ini selama 15 minit.
4. Sediakan tumis darat dengan ambil kuali, panaskan dan masukkan minyak masak. Bila minyak panas masukkan halba campur. Bila rempah halba campur ini mula meletup (awas jangan sampai hangit, ia akan pahitkan rasa nanti), masukkan daun kari, cili kering dan serbuk kunyit.
5. Bila cili kering mula garing, keluarkan kuali dari api dapur dan hasil gorengan tadi, masukkan dalam bekas rasam. Masukan garam masala. Tutup api dapur.
6. Rasam anda telah siap. Paling mudah dan cepat sekali.
7. Rasam dibuat dengan berbagai cara dan jenis. Ini adalah rasam tomato paling mudah dan lazat. Rahsia cara buat rasam ialah, “jangan sekali-kali mendidihkan rasam setelah masukkan rempah”. Cara masak rasam adalah cara simmering iaitu cuma bahgian atas rasam yang mengelegak dengan api dapur yang kecil. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment