Friday, July 11, 2014

Pasangan si parasit

Kadangkala kita hairan mengapa kita yang selalu memberi, tapi tidak pernah menerima. HAZRIL MDNOR percaya itulah tanda awal pasangan bertindak sebagai ‘parasit’ dalam hubungan. Jika anda mempunyai pasangan sebegini, bertindak segera dan jangan terus jadi naif.
Tahukah apa maksudnya parasit? Ia sebuah kehidupan yang tinggal di atas pokok lain dan mengeksploitasi khasiat yang terdapat di pokok itu. Sama juga dengan hubungan parasit di mana pasangan anda mengambil kesempatan di atas kesenangan yang ada. 
Hubungan ini sebenarnya agak sukar dikenal pasti kerana si pelaku bijak mengendalikan rancangannya. Perlu ketahui, pasangan yang mengambil kesempatan dalam kesempitan menjurus kepada hubungan yang tidak sihat. Dengan erti kata lain, mereka berada dalam kancah kesusahan dan mengharapkan bantuan pasangan untuk menumpang kesenangan. 

Percaya atau tidak, kesenangan itu datang dalam pelbagai bentuk seperti kebahagiaan, emosi, wang dan sebagainya. Apa yang ingin difokuskan di sini ialah bagaimana caranya untuk mengenal pasti perangai pasangan anda secara keseluruhan bagi mengelakkan diri anda dieksploitasi ke tahap yang lebih memudaratkan.

Masalah dalam hubungan ini bukan saja berlaku dalam kalangan lelaki saja tapi juga wanita. Memang sedih dan duka apabila mengetahui pasangan mempunyai niat yang buruk terhadap kita lebih-lebih apabila si dia adalah cinta pertama. Justeru Gen Y ingin membongkarkan rahsia di sebalik hubungan parasit ini dan bagaimana apa tindakan yang perlu dibuat untuk mengatasi kepincangan ini.


Tanda-tanda 

Bukan mudah untuk mendapat tahu aksi sebenar si parasit. Mungkin perkara utama yang anda perlu perhatikan ialah kelakuannya sendiri. Penulis percaya pasangan yang mengambil kesempatan ini biasanya seorang yang ‘busybody’. Si dia akan selalu menyibuk dan mencari alasan untuk berada dengan anda sepanjang masa. 

Tapi ingat, mungkin si dia hanya berperangai begitu untuk mendapat perhatian kamu. Justeru, untuk memastikan si dia adalah seorang yang betul-betul parasit, kelakuannya berubah menjadi terlalu sibuk ‘nak jaga tepi kain orang’. Apa saja aktiviti yang anda ingin lakukan, pasti si dia akan menawarkan dirinya untuk ikut bersama. 

Pendek kata, si dia inginkan kasih sayang anda tatkala sedang berada dalam dilema dengan lelaki lain. Kadangkala si dia akan menyuruh anda menemannya untuk ke mana-mana. Pasti ia pernah berlaku pada anda bukan? Ini sebenarnya jelas menunjukkan si dia seorang parasit kerana terlalu mengharapkan bantuan anda dan tidak boleh berdiri atas kaki sendiri atau lebih tepat lagi dengan gelaran tidak berdikari. 

Justeru, anda hanya dipergunakan kerana boleh menolongnya melakukan sesuatu perkara dengan mudah. 

Perkara kedua yang perlu diberi peringatan adalah hubungan rakan yang terjalin antara anda berdua. Jika sebelum ini pasangan anda sering keluar dengan rakan-rakannya yang anda tidak kenal, kali ini tiba-tiba saja dia berkawan dengan sahabat anda. 

Ini adalah petanda tidak baik kerana si dia mungkin seorang parasit. Perkara ketiga membabitkan isu daripada segi kewangan. Kalau anda perasan, si dia sering meminta untuk membelanjakannya hadiah ataupun membayar liabiliti lain seperti bil dan termasuk makan dan minum. 

Sudah jelas di situ si dia mengambil kesempatan di atas kemewahan yang dimiliki anda. Ini bukan bermakna si dia tidak mempunyai wang, tapi memandangkan anda terlalu memanjakannya, dia akan terus menggunakan kelemahan anda untuk kepentingan peribadinya. 

Percaya atau tidak, tatkala anda sedang menjadi ‘mesin wang’ kepadanya, si dia mungkin sudah ada ‘skandal’ lain di sisi. Pendek kata, anda hanya dipergunakan untuk wang, tapi bukannya emosi. Maksudnya di sini, si dia tidak ikhlas berada dengan anda dan hanya mengharapkan kesenangan saja.

Perlu tahu bahawa hubungan yang sihat terjalin kerana prinsip yang diamalkan seperti ‘memberi dan menerima’. Oleh itu, jika anda selalu membawanya keluar, belanja makan malam ataupun dengan bahasa mudah melakukan semua tanggungjawab, tapi si dia tidak pernah meminta maaf kerana tidak memberi sumbangan bersama, jaga-jaga kerana si dia mungkin adalah parasit. 

Antara tanda lain yang boleh dikenal pasti ialah si dia selalu menjadikan anda tempat meluahkan masalah. Isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah anda selalu mendengar masalahnya, tapi si dia pula tidak pernah ingin melakukan perkara yang sama. 

Apabila ingin meluahkan perasaan, si dia akan berpura-pura dengan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak. Seterusnya, ia banyak berlaku dalam kalangan remaja yang baru bercinta. Perkara seperti selalu tidak dihiraukan, SMS tidak terbalas dan panggilan tidak terangkat adalah sesuatu yang kerap terjadi. 

Masalah ini menunjukkan anda sedang dipermainkan kerana si dia mungkin mempunyai skandal lain. Ini jelas kerana si dia tidak serius dengan anda dan hanya menganggap anda sebagai tempat berdamping ‘sementara’. 


Apa nak buat?
Sesudah mengetahui tanda di atas memang ada pada pasangan, inilah masanya untuk anda ambil tindakan. Penulis sarankan tidak perlu membuat keputusan terburu-buru seperti marah dan terus minta putus, sebaliknya berbincanglah dengan cara yang lebih elok untuk keselesaan bersama. 

Pertama, anda perlu berterus terang padanya bahawa perangainya perlu diubah kerana anda serius dengan hubungan itu dan ingin meneruskan buat jangka masa panjang. Dengan erti kata lain, beritahu bahawa anda komited dalam situasi ini. 

Namun, jika anda dapati si dia masih kekal dengan perwatakan yang sama dalam masa beberapa bulan, ini bermakna anda perlu lakukan langkah kedua. Langkah kedua, tanyakan padanya mengapa dia berbuat demikian sepanjang perhubungan itu. 

Dapatkan nombor perhubungan rakan-rakannya untuk bertanyakan jika si dia mempunyai skandal lain di belakang anda. Pastikan anda memang sudah kenal betul dengan rakannya. Dengan cara ini anda boleh letakkan kepercayaan pada rakannya untuk tidak memberitahu pasangan anda akan hal ini. 

Langkah ketiga, cuba berhenti lakukan apa yang anda buat selama ini. Jika selama ini si dia sering mengharapkan bantuan daripada kewangan anda, apa kata cuba katakan anda tidak berduit dan ingin si dia pula beri sumbangan. Cara inilah paling mudah untuk mendapat tahu si dia itu parasit ataupun memang tidak berduit. 

Akhir sekali, jika anda sudah puas bertanya namun tindak balas yang diberi tetap tidak memuaskan, cuba fikir kembali bahawa dia memang berniat untuk mengambil kesempatan dan tidak serius dalam hubungan. Justeru, langkah terbaik adalah tidak lagi bergantung harap pada individu yang tidak menyayangi kita.

Sumber:harian metro

No comments: