Tuesday, September 23, 2014

Tampil Sopan Elak Sumbang Mahram

Masih terkejut dengan perkongsian menerusi siaran radio semalam yang mengkhabarkan berita mengenai seorang wanita telah membuat aduan di sebuah balai polis mengatakan dirinya telah dirogol oleh anak lelakinya sendiri, seorang remaja berusia 15 tahun. Pernah kendalikan kes serupa bila seorang ibu dirogol beberapa kali oleh anak lelakinya sendiri yang berusia awal 20-an. Bezanya klien ini tidak tinggal bersama ibunya sejak awal selepas berlaku perpisahan antara ibunya dengan ayahnya. Hanya bersua bila dah dewasa, mungkin gelodak rasa tak mampu membezakan antara ibu atau teman wanita. Peliknya, tinggal serumah tetapi masih tergoda dan dinodai. Betulkah pelik?

Realitinya, kes yang dikongsi bukanlah kes di luar negeri sebaliknya kes yang berlaku di negara Malaysia kita yang tercinta yang khabarnya terkenal dengan adab sopan dan budaya yang saling menghormati. Tatkala kes seperti ini makin kerap berlaku, apa bermaksud, adab sopan bukan lagi diutamakan? Apakah punca yang menjadi pendorong kepada berlakunya sumbang mahram ini. Punca biasa, mungkin remeh tapi disebabkan menganggapnya remehlah, isu tak diingini seperti ini boleh terjadi.

Realitinya, Islam telah menetapkan garis panduan tertentu dalam berhubungan sesama manusia termasuk sesama ahli saudara termasuk hubungan antara anak dengan ibu bapa. Paling penting, setiap individu perlu menjaga aurat dalam penampilan. Islam telah menggariskan batasan aurat yang perlu dipatuhi, bukan saja kepada wanita malah juga kepada lelaki. Aurat asas bagi seorang lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut.

Aurat wanita pula ialah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya:

  • Aurat ketika sembahyang: Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan
  • Aurat ketika bersama mahram: Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri. Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatasusila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku. Dalam kes klien tadi, jika si anak diajar batasan ini, dia akan tahu ayahnya telah melanggar batas.
  • Aurat ketika di hadapan lelaki bukan mahram: Aurat wanita di hadapan lelaki bukan mahram ialah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat daripada penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.

Malangnya, ramai ibu bapa tidak mengambil berat mengenai perkara aurat malah mengambil mudah: “Alah! Adik sendiri... anak sendiri... abang sendiri...” hingga membiarkan anak gadis berpakaian seksi menjolok mata abang, adik lelaki malah ayah sendiri. Si ibu pula bersahaja berpakaian mendedahkan dada dan paha, konon anak lelaki yang di kandung dan dijaga, takkan tergoda pula hingga lupa, syaitan dan nafsu bekerja tak kira masa dan ketika, nauzubillah!

Bukan hanya cara berpakaian tetapi ramai juga yang ambil mudah mengenai pergaulan. Anak lelaki dan anak perempuan dibiarkan tidur bersama, dibiarkan berpelukan mesra malah ada ayah yang bersikap mesra dengan anak gadisnya, persis pasangan bercinta. Apa semua ni?

Wahai ibu bapa, anda wajib mengajar anak-anak mengenai batasan pergaulan seperti yang disarankan oleh syariat. Terdapat enam etika pergaulan antara lelaki dan perempuan termasuk antara anak lelaki dan anak perempuan yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada mendekati zina iaitu menundukkan pandangan, menutup aurat, batasan aurat, ada penghalang antara lelaki dengan wanita, tidak berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan; tidak melunakkan ucapan atau percakapan dan tidak menyentuh kaum berlawanan jenis.

Ibu bapa juga perlu asingkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan. Bukan sekadar berasingan katil tetapi juga berasingan bilik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perintahkanlah anak-anakmu dengan (menunaikan) solat pada umur tujuh tahun. Dan pukullah mereka kerana (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun , dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya.” (hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).

Hadis ini jelas menyuruh kita agar memisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan apabila mereka berusia 10 tahun. Jelaskan sebab dan hikmah perlunya anak-anak ini diasingkan tempat tidur (berkaitan dengan batasan pergaulan), bukan saja diasingkan daripada saudara kandung tetapi juga daripada ibu bapanya sendiri. Anak-anak juga perlu diajar mengenai adab masuk ke bilik ibu bapa dan bilik saudara kandung.
 
Andai perkara ini diambil berat dan diberikan perhatian, insya-Allah takkan ada lagi kes sumbang mahram. Ya Allah! Hanya kepada Mu kami bermohon!

Untuk perkongsian ilmu yang lebih menarik, anda boleh dapatkan majalah Mingguan Wanita yang sudah ada di pasaran. 


Oleh: SUZANA GHAZALI
(Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie)

No comments: