Wednesday, December 4, 2013

kari ikan bawal mamak haji

IKAN KARI BAWAL (UNTUK HIDANGAN 8 ORANG).

BAHAN-BAHAN YANG DIPERLUKAN:

- 1 kg. Ikan Bawal Hitam. (kalau beli di pasar itu siap potong saja kerana nanti kecai pulak isi ikan itu).
- 125 gm. Rempah Ikan siap (Mamak suka pakai rempah kari ikan baba's 250gm dengan memakai 1/2 pkt saja).
- 1 sudu kecil rempah tumis/ halba campur (mengandungi halba+biji sawi+jintan putih + dll)
- 2 biji Tomato (dipotong empat)
- 6 biji Bendi (basuh dulu kemudian potong tangkainya)
- 2 biji bawang besar dipotong hiris halus memanjang.
- 4 biji bawang putih di ketuk saja.
- 1 sudu kecil jintan putih.
- 1 sudu besar serbuk cili. (Ikut kepedasan yang anda kehendaki)
- 1 sudu kecil serbuk kas-kas (sekiranya diperlukan).
- 3 ranting daun kari.
- 1/2 cawan air asam jawa.
- 1 senduk besar minyak masak.
- *4 - 5 cawan air gunakan untuk mengisar bersama 1 inci halia, 3 ulas bawang putih dan 1 biji bawang labu merah besar dikisar halus.
- air kisaran digunakan sebagai kuahnya.
- Garam secukup rasa.

CARA PENYEDIAAN.
1. Basuh ketulan ikan bawal terutamanya ambil kira basuh bekas darah ikan yang terdapat ditulang tengah. Kepala ikan bawal perlu dibasuh dengan membuang segala sisa-sisa darah dan insang. Sisa-sisa darah ikan ini menyebabkan kehanyiran dan juga memberi kesan kepada warna kari ikan menjadi kehitaman. Ketulan ikan yang telah dibersihkan perlu diperamkan dengan sedikit garam dan air limau untuk menghilangkan bahan kimia atau pun lendir ikan yang akan menghanyirkan ikan tersebut selama 15-30 minit. Basuh kembali ketulan tersebut dengan air bersih. Ketulan ikan ini sedia untuk masak.
2. Sediakan periok atau kuali dan panaskan. Masukkan minyak masak untuk menumis. masukkan halba campur. Awas! jangan sampai halba campur ini hangit akan menyebabkan bau hangit dan ia akan timbul di atas kuah kari nanti. Apabila saja bau harum dikeluarkan dengan cepat masukan bawang yang dihiris untuk menumis. Apabila hirisan bawang mengeluarkan bau yang harum dan bertukar warna keemasan masukkan kisaran bawang puti+ halia. Tumis hingga keluarkan bau yang harum. Kecilkan api dapur.

3. Jadikan pes pekat rempah kari ikan, jintan putih, serbuk cili dan serbuk kas-kas dgn sedikit air. Masukan dalam minyak tumis 1 minit dan segera masukkan kisaran bawang besar. Jangan biarkan pes rempah ini terlalu lama di minyak ia akan menyebabkan kari anda berminyak berlebihan dipermukaan kelak. Kita tumis cuma matikan rasa rempah yg mentah. Biarkan sebatian ini mendidih.
4. Apabila sebatian kari ini telah mendidih, perlahankan api dapur dan masukan ketulan ikan. Biarkan ikan ini masak selama 15-20 minit dlm keadaan 75 peratus masak. Jangan membiarkan kari ikan mendidih terlalu kuat (ketulan isi ikan akan pecah). keluarkan ikan yang masak dari kuahnya. Letak tepi. Merenehkan kari semula selama 30 - 45 minit lagi.

5. Masukkan tomato, kacang bendi dan daun kari. Masukan dengan perlahan masukkan kembali ikan yang diketepikan tadi. Masukan air asam jawa dan Kacau sama rata dengan perlahan dan berhati-hati supaya ketulan isi ikan tak pecah/ hancur. Masak dalam keadaan renehan bukan mendidih.

6. Apabila ikan telah masak 100 peratus (jangan terlalu kerap kacau masakan ini supaya isinya tak pecah). kari ikan bawal anda sedia untuk hidang. Sebenarnya kari ikan ini paling sedap bila di simpan keesokan hari. Kalau pekena dengan roti canai ..peh!. Tutup bekas hidangan dengan penutup supaya bau haruman rempah kari tidak terbebas. Buka saja tudung saja...bau wangi rempah kari pasti akan buka selera anda. Hidang kari ini hanya semasa makan. kari yang sedap boleh ditentukan dengan bau harum kari akan menusuk hidung kita apabila dibuka tudung penutup bekas kari ikan itu.Selamat mencuba

No comments: