RESEPI SOTONG MASAK MASALA (KARI PEKAT) NASI KANDAR.
BAHAN-BAHAN:
-1 kg Sotong putih (sarat telur). Persediaan seperti keterangan di atas.
-100 gm rempah serbuk kari jenis daging/ayam. ( 1/2 bungkusan 250gm serbuk kari).
- 1 biji bawang besar labu (sedang) dihiris. (hirisan bawang untuk masakan resepi nasi kandar perlu di potong menegak bawang atau memanjang).
- 2 biji bawang labu (sedang) di kisar.
- 2 sudu besar Pes bawang putih dan Halia.
- 1 sudu kecil serbuk jintan putih.
- 1 sudu kecil serbuk kas-kas (tidak kemestian)
- 1 sudu kecil serbuk cili (tidak kemestian cuma sekiranya ingin lebih pedas, warna kari anda juga boleh bertukar kemerahan yang cantik).
- 1 sudu kecil gula pasir.
- 2 kulit kayu manis, 7cengkih, 3 bunga lawang dan 5 buah pelaga.
- 2 - 3 ranting daun kari.
- 3 cili merah dibelah dua memanjang.
- 1 pokok Daun bawang dipotong 2 inci.
- 100 gm santan pekat atau (4 tbsp yogurt atau 1/2 tin susu cair).
- Minyak Masak untuk tumis dan Garam secukup.
CARA-CARA:
1. Bila kuali panas masukkan minyak masak. Bila minyak panas, tumis rempah garam masala ( 4 serangkai). Bila bau haruman naik, masukkan bawang hirisan dan cili merah. Agak hirisan bawang mula bertukar warna keemasan, masukkan pes bawang putih dan halia dan daun kari. Bila mengeluarkan bau haruman(jangan sampai hangus!), masukkan air bawang kisar. (air bawang kisaran adalah cara masak lauk nasi kandar supaya kuahnya pekat dan tidak ada lapisan air terapung di atas kuah kari bila ia sejuk.).
2. Bila air bawang mula mendidih (sekiranya anda masak tak tumis betul bawang kuah anda akan berbuih seperti basi apabila ia dihidangkan) masukkan serbuk kari, serbuk jintan putih, jintan manis dan kas-kas. Tambahkan air rebusan sotong yang telah ditapis. Kacau rata biarkan kuah mendidih dan menjadi pekat sedikit. Masukan santan pekat atau susu cair mengikut selera anda. Kuah jangan terlalu pekat semasa memasak kerana ila sejuk kuah akan semakin pekat. Tunggu hingga kuah mendidih. jangan terlalu didihkan kuah anda kerana kalau santan ia pecah minyak kalau susu ia akan bergentel.
3. Masukkan sotong yang telah rebus dan sehingga sotong itu masak 1/4 bahagian lagi. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Masukan hirisan daun bawang. Kacau serata. Sotong tak perlu masak terlalu lama. Sekiranya kuah anda pekat tambahkan air rebusan sotong. Pastikan kuah tidak terlalu cair. Mamak haji tidak dapat beri sukatan yang tepat mengenai kepekatan kuah ini. Ikutlah kepekatan kuah mengikut selera anda. Kalau anda tidak mahu rasa kari terlalu kuat kurangkan rempah kari.
CARA MENYEDIAKAN SOTONG UNTUK MASAK.
Cara bersihkan sotong dalam masakan nasi kandar berlainan sedikit dari yang biasa. Ramai yang tak tahu bagaimana sotong nasi kandar bahagian kepalanya masih bercantum dengan badan sotong dalam masakan nasi kandar. Ada juga yang cucuk lidi untuk mengekalkan keseluruhan sotong untuk mengelak kepala bercerai dari badannya. Cara cucuk lidi itu OK tetapi bila cabut lidi selepas masak nampak hodoh sotong itu seperti kena bunuh..hahaha. Ini sebahagian Tip-Tip membersihkan sotong untuk masakan resepi nasi kandar. Sotong yang beli perlu basuh bersih dahulu. Tarik kepala sotong dengan cermat sehingga anda jumpai pundi dakwat sotong. Dengan cermat keluarkan dan buang pundi dakwat sotong (ia seperti pundi hempedu ayam berwarna kehitaman). Sekiranya pundi dakwat itu pecah dan dakwat hitam percik tidak mengapa. basuh bersih sotong itu. Masukkan kembali kepala sotong ke dalam badan sotong dengan cara menekan masuk. Jangan tarik keluarkan tulang belakang sotong itu, nanti lembik pula sotong itu. Rebus sotong sehingga 3/4 masak. Jangan gunakan terlalu banyak air semasa rebus. Tentukan air rebusan sotong ditapis dan disimpan untuk masak. Sekiranya anda tidak dapat sotong yang putih tetapi hitam kemerahan, masukan satu sudu cuka semasa rebusan. kulit sotong yang kehitaman akan terkopek sendiri buat kulit sotong supaya nampak putih. Jangan rebus terlalu lama sotong anda akan terlalu kecut. Isi sotong akan menjadi tebal semasa masak dan pengecutan tidak boleh dielakan. Maka saiz sotong yang dibeli perlu di ambil kira. Pengecutan selalu berlaku separuh dari saiz asal sotong. Saiz sotong yang terbaik dibeli ialah 5-6 inci dan bila direbus saiz menjadi lebih kurang 3-4 inci.
Resepi sotong nasi kandar yang popular ada dua atau tiga jenis masakan. salah satunya resepi masak sotong masala (kari pekat) atau pun masak kuning pekat atau sotong goreng tepung rangup (kaedah penyediaan tepung sama seperti ayam goreng rempah mamak penang). Cara masakan kedua-dua resepi sama cuma masak kuning tidak menggunakan serbuk kari tetapi masak seperti kurmak. Sotong masak masala (kari) lebih popular di luar Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment