TIPS MENAMATKAN SENGKETA RUMAH TANGGA
Sebaik mana pun insan itu dijadikan, waimah para nabi sekalipun, pasti akan berlaku pertengkaran dan perselisihan faham. Banyak diriwayatkan dalam hadis pengalaman getir dalam kehidupan berumahtangga nabi SAW sendiri. Ada kalanya sampai terpaksa memanggil Abu Bakar a.s. selaku bapa mertua dan sahabat baginda untuk menjadi penengah dan penasihat. Demikian juga kisah rumahtangga para sahabat lain termasuk Khulafa’ Ar-Rasyidiin. Apatah lagi insan biasa di akhir zaman macam kita.
Demikian juga kami para murobbi RPWP yang mewakafkan diri secara berpasangan di sini. Ramai yang bertanya sistem rumahtangga dan berkomuniti bagaimana yang kami amalkan sehingga dapat hidup harmoni dan bekerjasama sekian lama? Macam tidak fitrah jika sampai tidak pernah berlaku sebarang perselisihan.
Kami sahkan bahawa telahan itu amat benar. Mustahil jika tidak berlaku perselisihan. Namun kami semua ini sudah bertekad untuk menyerahkan diri kepada satu sistem aturan yang adil, yang telah baginda rasulullah SAW tunjukkan sewaktu menangani masalah yang hampir serupa. Kami teliti segala kaedah yang ada agar perselisihan yang berlaku tidak sampai membawa keruntuhan dan pecahbelah keluarga dan komuniti yang dibina.
Setiap perselisihan yang berlaku kami jadikan bahan kajian, kami adili dan kami ambil pelajaran darinya. Lama kelamaan ia terhimpun menjadi satu pedoman hidup yang boleh diguna pakai oleh keluarga kami dan menjadi bahan pendidikan kepada anak-anak agar tidak mengulangi perkara yang sama. Jika kita sama-sama berbasmalah, pasti mudah menyelesaikan masalah.
PUNCA SENGKETA & SALURAN PENYELESAIANNYA
Bila ada dua orang yang bersama, Islam mengarahkan salah seorang darinya untuk menjadi ketua. Yang satu lagi harus mematuhinya. Rujukan kepada kepimpinan itu ialah alquran (wahyu) dan Hadis (sunnah) (QS:4/59). Seorang suami atau ayah dalam rumahtangga adalah bersifat sebagai ketua dan wajib menyediakan kekuatan diri untuk memainkan peranannya dengan bijaksana.
Antara kekuatan yang diperlukan ialah ilmu memimpin dan kemampuan menyara keluarganya. Dengan ilmu, suami akan mendapat kekuatan dan kebijaksanaan untuk mengatur keluarga. Sila perhatikan perkataan berHURUF BESAR pada ayat 34-35 dari surah 4, ANNISA’ ini,
34. Kaum LAKI-LAKI itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah MELEBIHKAN sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan karena laki-laki telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang SALEH, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara. Wanita-wanita yang kamu khawatirkan NUSYUZNYA, maka NASIHATILAH mereka dan pisahkanlah mereka di TEMPAT TIDUR mereka, dan PUKULLAH mereka. Kemudian jika mereka MENTAATIMU, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk MENYUSAHKANNYA. Sesungguhnya Allah Maha TINGGI lagi Maha BESAR.
35. Dan jika kamu khawatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang HAKAM dari KELUARGA LAKI-LAKI dan seorang hakam dari KELUARGA PEREMPUAN. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan (ISLAH), niscaya Allah memberi TAUFIK kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha MENGETAHUI lagi Maha MENGENAL.
Ketua mesti dipilih dari kalangan yang berilmu, tegas dan amanah. Demikian juga dalam rumahtangga. Setiap lelaki di RPWP dididik sejak awal sehingga benar benar tahu akan peranan sebagai lelaki. Wanita pula dididik agar benar benar tahu akan peranan wanita. Kefahaman ini akan memudahkan lelaki memimpin keluarga dan wanita pula mudah mematuhinya.
Pertengkaran biasanya bermula bilamana seseorang itu melukai hati pasangannya. Ini disebabkan ia telah melakukan sesuatu yang tidak disukainya, samada telah melanggar apa yang dilarang atau tidak melakukan apa yang disuruh atau tidak melakukan sesuatu tanggungjawab yang memang menjadi lazim baginya.
Prinsip kami di RPWP ialah, tidak layak sama sekali untuk seorang isteri atau anak itu berkecilhati, berkata ‘uh,ah’ kepada suami atau ibubapanya biar apapun keadaannya. Jika suami atau bapa melakukan sesuatu yang terpesong dari hukum syarak sebagai ketua keluarga, isteri diminta bersabar dan menegur dengan hikmah tanpa bermasam muka. Carilah masa dan situasi yang paling damai untuk menasihati suami dengan hikmah secara musyawarah.
Isteri tidak perlu memaki hamun atau memboikot suami, kerana dosa suami bukan atas tanggungan isteri. Jika suami masih melakukan kemungkaran yang memudaratkan keluarga, isteri boleh merujuk kepada pihak kadhi (hakim) untuk mendapatkan nasihat. Terutamanya jika terdapat keraguan samada kesalahan suami yang kita sangkakan itu telah benar benar melanggar syarak. Jika suami disahkan menyalahi syarak dan tidak menerima nasihat, maka isteri harus merujuk kepada abal hakam yang adil (diterangkan di bawah).
Isteri wajib memenuhi keperluan dan kesukaan suaminya, selagi ia tidak melanggar hukum syarak. Apabila seorang isteri telah melukai suaminya, maka langkah pertama bagi suami ialah menasihati isterinya dengan ilmu dan bijaksana. Kemudian berilah isteri peluang untuk memahami dan melakukan pembaikan (ISLAH). Jika isteri masih terus berdegil juga, suami jangan terus menerus berleter, tetapi harus pisahkan isteri dari tempat tidur. Ini satu langkah BOIKOT agar masing-masing bertenang untuk memberi peluang si isteri dan suami berfikir. Suami jangan suka lawan berleter dengan isteri kerana wanita memang banyak cakap.
DILEMA MEMUKUL ISTERI DALAM ISLAM
Setiap kali mengutarakan tips munakahat, kami dihujani dengan berbagai-bagai aduan para isteri yang sedang menghadapi krisis rumahtangga yang parah. Antara masalah bersar yang menyiksakan dan membuatkan para isteri sangat tertekan ialah habit suami yang suka memukul isteri. Setengahnya malah suami yang bertaraf ustaz pun.
Ini adalah isu utama yang ingin kami bincangkan kerana dalam ayat di atas Allah menyatakan jika isteri masih terus berdegil, maka suami digalakkan memukulnya. Iniah isu yang banyak dijaja oleh musuh Islam sehingga memperlihatkan bahawa Islam itu agama yang menggalakkan keganasan. Mereka turut mengaitkan penderaan lain seperti mendera anak yang tidak solat ketika umur 10 tahun, hukuman penderaan kepada penzina dan sebagainya. Kami telah mengambil masa dan usaha yang sangat banyak untuk mengkaji bab ini.
Methodologi kajian kami berpegang kepada beberapa prinsip asas berdasarkan makrifatullah melalui semua sifat terpuji Allah dan Rasul itu sendiri. Hingga kini, para ulamak masih berselisih dengan mengatakan suami boleh memukul isteri selagi tidak mencederakan. Ada yang mengambil sunnah nabi Ayub a.s. yang memukul isteri dengan rumput dan sebagainya. Apapun, pukul tetap pukul. Kesannya adalah permusuhan walaupun tidak cedera.
Demi menjaga keharmonian dan memuliakan agama, kami berprinsip untuk tidak membenarkan suami memukul isteri secara fizikal kecuali darurat, contohnya isteri sendiri yang memulakannya. Ini kerana Allah memang sudah memberi kelebihan fizikal kepada suami. Jadi tidak adil jika suami dikatakan harus memukul isteri yang lemah, sekalipun memang ada jenis isteri yang maskulin, yang sanggup bersilat dan bersepak terajang dengan suami.
Untuk tidak bingung selama-lamanya, nabi SAW sudah wariskan alquran dan sunnah baginda untuk kita ikuti (Hadis TAROKTU FI KUM). Demikian telah nabi wasiatkan dalam khutbah wida’ baginda. Oleh itu kami merujuk kepada peribadi dan cara baginda menangani perselisihan dengan para isterinya sepertimana diriwayatkan dalam banyak hadis. Baginda tidak mengajar kita memukul isteri pun.
Ayat 35 surah an-Nisa’ itu turut diuswahkan bila baginda pernah beberapa kali memanggil hadir bapa mertuanya Abu Bakar a.s. sebagai abal hakam untuk mengadili perselisihan yang berlaku. Ada kes di mana Abu Bakar a.s. berang dengan kata-kata anaknya lalu menampar Aishah r.a. sampai berdarah lalu nabi menghalang dan menegur bapa mertuanya. Ini menunjukkan bahawa memukul isteri bukan sunnah nabi SAW walaupun perintahnya ada tertera dalam quran. Lalu mengapa Allah keluarkan perintah itu?
Setelah mengkaji sedalam dalamnya, maka kami dapati memukul dan mendera itu tidak semestinya dengan tangan secara MUHKAMAT. Ia adalah satu perintah MUTASYABIHAT, iaitu penderaan yang boleh dibuat dengan berbagai cara sehingga membuatkan isteri merasa TERPUKUL dan serik untuk mengulangi kesalahannya.
Secara umumnya, seorang suami yang baik, berilmu, bertanggungjawab dan berhemah itu akan sangat disukai isteri. Mereka akan menggauli isteri dengan baik, sangat mesra dan amat disayangi. Isteri akan sentiasa merasa bahagia dan dilindungi oleh suami. Tidurnya si isteri pun atas lengan atau dada suami setiap malam. Sentiasa bercumbu mesra biarpun dalam masa haid.
Apabila suami tidak redha lalu memisahkan tempat tidur, tidak mahu bercakap dengan isteri, itu sudah cukup membuatkan isteri merasa TERPUKUL. Suami yang bijak seharusnya tahu apa yang boleh dibuat untuk membuatkan isteri merasa terpukul. Selaku imam, suami harus ada tongkat di tangan dan pandai membacakan khutbah, nasihat kepada isteri. Itulah MUTASYABIHAT kepada petunjuk yang dianalogikan dengan tongkat imam (ketua). Berikan firman dan hadis, serta pelajaran yang tepat untuk MEMUKUL isteri dengan tongkat (petunjuk) yang memimpin kehidupan kita itu. Ibarat orang buta yang berjalan dengan panduan tongkatnya.
Suami juga boleh mengatur pelbagai langkah tambahan untuk menunjukkan rasa tidak redhanya, agar si isteri merasa terpukul. Contohnya dengan tidak memaklumkan ke mana mahu pergi, tidak menerima salam atau mengucup isteri sebelum keluar rumah, tidak hantar mesej atau call isteri seperti biasanya, tidak makan bersama dan sebagainya. Namun ini semua hanya berkesan untuk membuatkan isteri merasa TERPUKUL apabila ia memang telah menjadi amalan biasa. Kerana itulah Allah memerintahkan suami agar sentiasa bersifat pengasih dan menggauli isteri dengan sebaik-baiknya.
Sehari tidak menerima kasih sayang suami yang baik begini akan cukup memberikan tekanan dan membuatkan isteri merasa TERPUKUL. Tidak perlu lagi berkungfu dan bersilat sampai isi rumah pun ikut tonggang langgang. Jika sikap nusyuz isteri sudah keterlaluan dan perlu sangat memukul, cukuplah dengan seketika mengeraskan suara atau memukul lantai, tepuk bantal, meja atau daun pintu untuk menampakkan geram. Itupun sudah cukup keterlaluan untuk membuatkan isteri yang baik merasa TERPUKUL. Jika terpaksa sangat pun cukuplah sekadar ‘tepuk’ di peha atau punggung, bukan di muka atau guna kaki dan buku lima.
TIPS MEREDAKAN KEMARAHAN
Dalam banyak situasi, kita sering melayan kemarahan dalam pertengkaran sehingga akhirnya sampai bercerai. Pasangan harus kreatif untuk mencari jalan meredakan kemarahan. Tips penting yang kami amalkan ialah isteri harus sentiasa beristighfar bahawa syurga mereka adalah keredhaan suami. Isteri tiada hak untuk berkecil hati dan memusuhi suami. itu akan membuatkan isteri mampu sentiasa beristighfar, meminta maaf pada suami DENGAN SEGERA setiap kali melakukan kesilapan. (QS:4/17-18. QS;17/14-15)
Cara lain ialah dengan mengenang kembali segala kenangan manis semasa muda, lihat semula gambar pasangan kita sewaktu muda, gambar nikah contohnya, belek semula keistimewaan yang ada pada tubuh muda pasangan kita yang amat kita sukai dahulu. Fikirkan bagaimana kita dahulunya pernah saling merindui. Kenangkan segala budi baik yang ada pada pasangan kita dan banyak lagi.
Malaikat maut adalah yang paling kerap melawati kita setiap hari. Cuba bayangkan bagaimana perasaan kehilangan jika Allah ambil kembali pasangan kita. Si isteri fikirkan bagaimana jika anda mati ketika suami tidak redha, atau suami mati sebelum anda sempat mengembalikan redhanya. Bagaimana anda menjadi ibu tunggal yang terpaksa melakukan segala urusan hidup dan keluarga sendirian tanpa suami di sisi. Bayangkan juga apa rasanya jika suami tidak tahan lalu mencari isteri baru.
Suami pula cuba bayangkan, bagaimana anda akan terpaksa menjaga anak-anak sendirian, terpaksa masak sendiri, basuh dan lipat baju sendiri. Bagaimana menghadapi sakit pening dan tidur sendiri tanpa isteri yang biasanya anda dakap waktu tidur. Tanpa isteri yang memicit dan mengurut anda sebelum tidur dengan penuh kasih sayang. Tips munakahat sebelum ini mungkin boleh menambah kefahaman. Banyak firman dan hadis yang sudah dikongsikan di dalamnya.
No comments:
Post a Comment