ISU mengenai kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia bukanlah perkara baharu dan terkini, negara dikejutkan dengan penahanan 1,158 warga asing. Mereka dipercayai berasal dari Bangladesh dan Myanmar termasuk wanita serta kanak-kanak yang mendarat di perairan Pulau Langkawi secara haram.
Kumpulan PATI yang dipercayai terdiri daripada dua kumpulan itu belayar selama dua bulan di lautan sebelum mendarat di perairan negara ini.
Gadai nyawa
Akhbar Kosmo! pada 12 Mei lalu melaporkan, kumpulan pertama PATI ditemui di Pantai Kuala Muda dekat Padang Matsirat selepas bot yang mereka naiki dikatakan tersangkut di benteng pemecah ombak kira-kira pukul 10.30 malam, 11 Mei.
Pada pukul 2.30 pagi keesokan harinya, kumpulan kedua PATI pula ditemui di kawasan kuala sungai Kuala Temoyong, Kedawang kira-kira 10 kilometer dari lokasi kumpulan pertama ditemui.
Pegawai Perpaduan Langkawi, Mashor Ahmad memberitahu, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan PATI di pantai Kuala Muda oleh anggota Skim Rondaan Sukarela kira-kira pukul 1.30 pagi.
Menurut beliau, kebanyakan PATI yang ditemui hanya memakai seluar pendek atau kain pelekat dengan baju-T, malah ada yang ditemui tanpa baju.
“Mereka kelihatan letih dan kelaparan kerana mendakwa terputus bekalan makanan sepanjang belayar, malah ada yang mati dan dicampakkan ke dalam laut,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah berkata, kesemua PATI itu dipercayai belayar keluar dari negara masing-masing menggunakan khidmat sindiket tempatan di sana.
Sebelum memasuki perairan Malaysia, kumpulan berkenaan dikatakan berada di Thailand buat sementara waktu sebelum dibawa masuk ke negara ini dan seterusnya ke Langkawi.
“Tiada tekong yang ditahan dan setakat ini hanya sebuah bot yang membawa PATI itu ditemui,” katanya yang turut memberitahu, kesemua warga asing itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut sebelum dipindahkan ke depoh tahanan Jabatan Imigresen di pulau legenda itu.
Perjalanan lebih 1,000 PATI itu untuk sampai ke Malaysia ditempuhi dengan pelbagai kesukaran apabila mereka didakwa terpaksa berhutang dan menggadaikan tanah bagi membayar upah kepada tekong darat sehingga mencecah RM7,000.
Laporan itu turut memaklumkan, negara ini menjadi destinasi utama bagi penyeludupan imigran dan pendatang asing menerusi Thailand sebagai negara transit bagi kegiatan tersebut.
Sehubungan itu, pihak berkuasa kini sedang giat memburu seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai Ko Tong kerana dikatakan menjadi perancang utama sindiket pemerdagangan manusia itu.
Terdahulu Malaysia pernah berhadapan dengan beberapa isu melibatkan pelarian terutama dari negara bergolak.
Misalnya seperti isu di Pulau Bidong, Terengganu antara tahun 1979 hingga 1980 apabila kira-kira 250,000 pelarian dari Vietnam mendarat di pulau kecil itu untuk mencari perlindungan.
Zaman pelarian itu bermula dengan kejatuhan kerajaan demokratik Vietnam Selatan yang disokong Amerika Syarikat ke tangan kerajaan Komunis Vietnam Utara pada April 1975.
Selain itu, Malaysia pernah merekodkan jumlah kedatangan pelarian paling tinggi dalam satu pelayaran iaitu sebanyak 2,400 orang yang mendarat di Pelabuhan Klang pada November 1978.
Peluang pekerjaan
Dalam pada itu, Malaysia yang merupakan sebuah negara dengan kedudukan strategik menjadi pilihan lambakan pendatang asing kerana beberapa faktor.
Antara faktor utama adalah negara ini memerlukan tenaga buruh dalam kalangan warga asing.
Sektor pekerjaan yang diisi oleh pekerja asing termasuk perladangan, pembinaan, perkilangan dan pembantu rumah.
Pekerjaan yang terdapat di Malaysia mampu memberi pendapatan agak stabil dan wang tersebut boleh dikirim ke negara asal untuk menyara keluarga.
“Kebanjiran PATI tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka mampu menguasai ekonomi negara sekiranya terus diberi peluang.” kata Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Shazali Abu Mansor.
Faktor lain yang mendorong kebanjiran warga asing ke Malaysia adalah kerana masalah kestabilan politik di negara asal seperti isu pergolakan kaum etnik Rohingya di Myanmar yang tidak diiktiraf negara itu.
Tambahan pula keamanan dan kemakmuran Malaysia mendorong kebanjiran pekerja asing ke negara ini berbanding keadaan negara asal mereka yang dilanda huru-hara kerana faktor peperangan, bencana alam dan rusuhan kaum.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3aLypUkjt
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment